Merupakan Bekas Anggota ‘Band’ Led Apple, Ini 7 Fakta Mengenai Han-byul

Big Stage ialah satu program pertandingan nyanyian berbentuk realiti yang menampilkan bakat muda yang terkenal dengan gelaran budak baru nak up (BBNU).

Pada tarikh 6 Oktober yang lalu, pertandingan Big Stage telah sampai ke penghujung dan Han-Byul telah berjaya meraih tempat pertama setelah berjaya mengalahkan Neeta Manisha, Irfan Haris, Dinda Permata dan Adzrin.

Berikut merupakan tujuh fakta menarik mengenai juara Big Stage musim kedua yang telah berjaya memikat hati peminat di Malaysia.

1. Warganegara Australia

Pasti ramai yang menyangka Han-byul ini merupakan warga Korea Selatan. Namun begitu, jejaka tampan ini sebenarnya memegang kerakyatan Australia.

Dilahirkan pada tanggal 4 Julai 1990, nama sebenar lelaki ini adalah Jason Han-byul Jang.

2. Bekas ahli band Korea Selatan Led Apple

Mungkin masih ada yang mengingati band Led Apple yang dulu pernah mengegarkan industri hiburan Korea Selatan.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa Han-Byul sebenarnya pernah menjadi salah seorang ahli dalam kumpulan tersebut.

Walau bagaimanapun, jejaka itu hanya bertahan selama empat tahun sahaja bersama kumpulan itu sebelum mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri pada tahun 2014.

3. Penyanyi solo

Setelah mengambil keputusan keluar dari kumpulan Led Apple pada tahun 2014, Han-Byul mula bergerak aktif sebagai seorang penyanyi solo.

Berkat suara dan bakat yang dimilikinya, lagu-lagu nyanyian Han-Byul telah berjaya menjadi runut bunyi untuk beberapa drama Korea seperti Blow Breeze, Remember, Sassy Go Go dan Marriage Not Dating.

4. Cover lagu di YouTube

Selain menyanyi di atas pentas, Han-byul juga aktif membuat cover lagu di saluran Youtube.

Kebanyakan lagu yang pernah dinyanyikan semula oleh Han-byul adalah lagu-lagu berbahasa Inggeris seperti lagu Rolling in the deep, Wreaking ball, Grenade, Shape of you dan banyak lagi.

5. Pernah ambil jurusan pergigian

Han-byul pernah mengambil jurusan pergigian di University Queensland Australia sebelum dia mengambil keputusan untuk berhenti belajar.

Menurut satu sumber, ibu bapa Han-byul telah meletakkan syarat supaya anak mereka menyambung pelajaran dalam bidang terbabit sekiranya mahukan restu orang tua untuk menjadi seorang penyanyi.

6. Mampu bertutur dalam tujuh bahasa berbeza

Di Malaysia, sesiapa sahaja yang dapat menguasai bahasa lain selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris akan dianggap bijak inikan pula jika dapat menguasai lebih daripada lima bahasa.

Han-Byul mampu bertutur dalam tujuh bahasa iaitu bahasa Inggeris, Jepun, Latin, China, Perancis, Korea dan juga bahasa Melayu.

7. Guru vokal

Menerusi satu video di YouTube yang bertajuk, Jom kenal Han-byul Big Stage, ternyata selain menjadi penyanyi, Han-byul juga merupakan seorang jurulatih vokal.

Tidak hairanlah suara dan vokal jejaka tampan ini sentiasa konsisten dan stabil pada setiap minggu sehingga berjaya memikat hati ribuan peminat yang mendengar nyanyiannya. 

Kesimpulannya, bakat nyanyian yang dimiliki oleh Han-byul tidak dapat disangkal lagi. Tidak hairanlah ramai Twinkler (nama peminat Han-byul) yang terpikat dengan jejaka tampan ini.

Penulis:

• Nani Izwani Binti Ahmad Anuar adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan K-Pop, sila klik pada pautan di bawah:


Artikel Lain Untuk Di Baca