“Mereka Juga Hero,” Ini Rahsia Di Sebalik Kejayaan Malaysia Atasi Masalah Kekurangan PPE

Seperti yang ramai sudah tahu, jumlah kes positif di negara kita semakin berkurangan berbanding sewaktu awal penularan wabak COVID-19 ini. Kalau dahulu, rakyat resah memikirkan adakah bekalan sut perlindungan diri (PPE), pelitup muka, dan sarung kaki dan tangan mencukupi untuk barisan hadapan.

Namun, Malaysia tidak mengalami situasi yang berat yang menyebabkan petugas barisan hadapan terkorban kerana terdedah dengan virus itu tanpa perlindungan.

Berbeza dengan situasi di luar negara di mana seperti di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (US) yang mengalami kekurangan PPE sehingga mengorbankan nyawa petugas kesihatan.

Malah, ada beberapa petugas dari UK juga yang cuba untuk mengambil tindakan undang-undang untuk memaksa negara mereka mencari jalan untuk atasi masalah kekurangan PPE.

Di Malaysia, kita beruntung kerana masalah kekurangan PPE kita tidak terlalu besar. Hal ini demikian kerana, bantuan yang hadir daripada pelbagai pihak yang membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengedarkan bekalan perlindungan diri yang mencukupi untuk barisan hadapan negara.

Masih ingatkah kita sewaktu tularnya video di mana petugas kesihatan terpaksa membalut diri mereka dengan plastik untuk melindungan diri saat wabak ini memuncak?

Tatkala itu, semua orang seakan-akan tersedar dari leka dan terbuka hati untuk membantu kerajaan atasi masalah ini.

Satu persatu bantuan tiba dalam kalangan rakyat Malaysia yang sanggup bekerja keras untuk menghasilkan PPE buat petugas hadapan agar mereka tidak perlu memikirkan masalah itu lagi.

Ini antara mereka yang terlibat dalam membantu menghasilkan sut perlindungan diri:

1. Banduan Penjara Penor di Kuantan

Seramai 18 banduan yang ditempatkan di bengkel itu telah bertungkus lumus mengukur, memotong dan menjahit PPE yang diperbuat daripada bahan khas berwarna biru. Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hasan Hussain melaporkan, mereka menerima 2,000 meter bahan berkenaan bagi menghasilkan PPE yang memerlukan lima meter bagi sepasang PPE dari hujung kepala ke hujung kaki.

Setiap hari mereka akan hasilkan lebih 20 pasang PPE yang akan terus dihantar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diagihkan kepada Jabatan Kesihatan negeri.

2. Pereka Terkenal Radzuan Radziwill

Melihat usaha petugas hospital yang terpaksa menjahit PPE mereka sendiri kerana keperluan tidak mencukupi, telah mendorong pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill mengambil inisiatif memulakan projek amal ini.

Beliau membantu dengan menjahit pakaian perlindungan diri kepada petugas barisan hadapan. Setiap hari beliau mampu menyiapkan 50 pasang jubah luar PPE.

3. Sukarelawan dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS)

Sumber: Harian Metro

Terdapat seramai 17 sukarelawan dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Machang menyumbang tenaga dengan menyiapkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Memulakan projek pada 19 April lalu, rata-rata mereka tergolong daripada tenaga pengajar kelas jahitan dan guru tadika.

4. Norfarrah Syahirah Shaari, seorang gadis tanpa tangan

Kekurangan diri bukan jadi penghalang buat gadis kelainan upaya ini untuk membantu petugas barisan hadapan. Beliau menghasilkan PPE hanya menggunakan kakinya sahaja.

Norfarrah Syahirah Shaari, seorang Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan (KKTI), menggunakan kemahiran menjahit dengan menggunakan kaki untuk menghasilkan gaun isolasi yang disumbangkan kepada petugas kesihatan Hospital Teluk Intan (HTI) dan Klinik Kesihatan Teluk Intan.

5. Pelawak Atu Zero dan Isterinya

Selebriti juga tidak melepaskan peluang untuk membantu dengan menyediakan PPE kepada petugas kesihatan.

Atu Zero dan isterinya, Shafeeqa Johari, dikatakan terpanggil membantu barisan hadapan selepas melihat hantaran seorang jururawat di laman Facebook meminta bantuan mana-mana pihak yang sudi menjahitkan baju itu.

Sumbangan itu kemudian diberikan kepada mana-mana hospital yang memerlukan.

Sebenarnya, terlalu ramai yang turut membantu namun tidak dapat ditulis satu persatu. Walau bagaimanapun, usaha dan jasa mereka tidak akan pernah dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Tanpa mereka, kita tidak boleh bayangkan apa yang jadi kepada petugas barisan hadapan di negara ini.

Oleh kerana rakyat Malaysia yang bersikap pemurah dan prihatin inilah yang membolehkan negara kita dapat bersatu padu membendung COVID-19.

Tidak semestinya anda yang tidak membantu dari segi kewangan dan barangan itu bermakna anda tidak berjasa, kepatuhan anda duduk di rumah sahaja sudah dianggap sebagai jasa dan bantuan yang cukup besar kepada KKM dan petugas barisan hadapan.

Tentu sekali perkara ini akan menjadi sejarah yang tidak akan pernah kita lupakan sehingga berpuluh tahun kemudian.

Datanglah berjuta halangan dan rintangan, bersama kita harungi segala cabaran.

Terima kasih rakyat Malaysia.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca