Sejak semalam, orang ramai tidak putus-putus memberikan reaksi terhadap apa yang menimpa Utusan Melayu Berhad yang bakal ditutup kerana tidak mampu untuk membayar gaji pekerjanya.
Pelakon dan pengacara terkenal tanah air iaitu Neelofa turut terkesan dengan situasi tersebut.
Menerusi satu tweet di akaun Twitternya, Neelofa memberitahu perasaannya luluh sebaik sahaja mendapat tahu tentang keadaan semasa Utusan kerana syarikat itu banyak membantu kariernya ketika dia baru mula menapak dalam dunia seni.
Pada masa yang sama, Neelofa turut mengalu-alukan orang ramai atau mana-mana syarikat yang mempunyai jawatan kosong supaya meninggalkan butiran yang sepatutnya di ruangan Replies. Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu juga berharap agar usahanya bukan sahaja dapat membantu warga Utusan tetapi juga sesiapa yang sedang mencari pekerjaan.
Devastated to hear about the current state of Utusan, diorang banyak bantu career Lofa dari awal. So, I want to return the favour. Kalau korang kenal anyone from HR or any companies looking to hire, drop the details below! https://t.co/PWnLOcn7PN
— Neelofa (@Neelofa) August 19, 2019
Untuk rekod, Neelofa yang juga merupakan seorang usahawan itu mempunyai lebih 6.4 juta pengikut di laman Instagram dan 2.4 juta pengikut di laman Twitter.
Apabila kami menjenguk di ruangan Replies, rata-rata warganet memuji usaha Neelofa itu terutamanya mereka yang bekerja di Utusan.
Thanks @Neelofa. We really appreciate ur kind gesture.
— Utusan Viral (@UMonline) August 19, 2019
Akaun rasmi Utusan Online juga dilihat membalas tweet selebriti yang juga merupakan hos rancangan MeleTOP itu.
Syabas untuk Neelofa kerana menggunakan pengaruhnya untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Semoga selepas ini lebih ramai lagi selebriti yang dapat mengikut jejak langkah Neelofa.
Kami doakan agar segala urusan mereka yang turut terjejas dengan apa yang berlaku terhadap Utusan ini dipermudahkan.