Menyertai Pertandingan Ratu India Setelah Menginjak Dewasa, Ini 5 Pelakon Cilik Bollywood Yang Semakin Menawan

Pelakon cilik Bollywood yang pernah menjadi watak tambahan suatu ketika dahulu tidaklah berakhir menjadi penghias jalan cerita sesebuah filem semata-mata begitu sahaja. Sesetengah mereka kekal bersinar dan sesetengah pula terus hilang dibawa masa dari dunia industri. Namun, filem-filem hebat seperti Kabhi Kushi Kabhi Gham yang tidak pernah jemu ditonton menyebabkan perkembangan pelakon kanak-kanak dalam filem-filem tersebut diikuti peminat walaupun sudah berbelas tahun.

Di bawah adalah senarai lima pelakon cilik Bollywood yang semakin dewasa serta menawan.

1. Sana Saeed

Masihkah anda ingat akan kanak-kanak yang terkenal dengan wataknya sebagai Anjali dalam filem Bollywood ‘Kuch Kuch Hota Hai’? Anda pasti terkejut dengan perubahan drastik kanak-kanak ini selepas 19 tahun filem itu ditayangkan.

Sana Saeed, nama sebenar pelakon watak kanak-kanak Anjali ini sudah menginjak dewasa. Dia kini berusia 32 tahun. Pada tahun 2012, Sana muncul kembali sebagai watak tambahan dalam filem arahan Karan Johar iaitu ‘Student Of The Year’ bersama-sama dengan barisan pelakon utama yang lain seperti Sidharth Malhotra, Varun Dhawan dan Alia Bhatt.

2. Parzan Dastur

Seperti Sana Saeed, Parzan juga menjadi watak sampingan sebagai Sadarji iaitu budak lelaki yang tidak suka bersuara. Dia juga turut diingati kebanyakan peminat tegar filem ‘Kuch Kuch Hota Hai’.

Parzan Dastur, 26, telah berlakon dalam pelbagai filem seperti ‘Break Ke Baad’, ‘Sikandar’ dan kerap muncul dalam iklan-iklan di kaca televisyen.

3. Jibraan Khan

Filem yang paling terkenal dalam sejarah perfileman India, Kabhi Kushi Kabhi Gham amat menyentuh hati sesiapa yang menontonnya. Walaupun begitu, siapa sangka pelakon yang memainkan watak anak lelaki Rahul (Shah Rukh Khan) dan Anjali (Kajol) yang telatahnya sangat mencuit hati itu sudah membesar menjadi lelaki yang kacak wajahnya.

Jibraan Khan lahir pada 4 Disember 1993 dan kini aktif dalam bidang peragaan di India. Dia juga pernah melibatkan diri sebagai pelakon tambahan dalam filem ‘Rishtey’ dan ‘Bade Dilwala’.

4. Malvika Raj

Memegang watak remaja Pooja yang nakal dan comel, Malvika Raj telah berusaha keras dalam melakonkan watak itu sebagai gadis kasar dari Chandni Chowk dalam filem Kabhi Kushi Kabhi Gham. Sebagaimana watak Pooja dewasa yang makin cantik, Malvika Raj juga tidak kurang hebatnya apabila dia juga turut aktif sebagai model.

Malvika Raj merupakan anak kepada Bobby Raj and Anita Raj dan turut menyertai pertandingan Ratu India baru-baru ini.

5. Darsheel Safary

Pelakon utama filem psikologi kanak-kanak yang menyentuh hati pada 2007, Darsheel Safary kini makin dewasa dan menarik perhatian. Filem yang berjudul ‘Taare Zameen Par’ itu telah menyebabkan Darsheel Safary telah memenangi anugerah pelakon terbaik Filmfare Critic.

Dia juga turut membintangi sebuah filem pada 2011 yang bertajuk ‘Zokkomon’ sebagai Kunal dan telah melibatkan diri dalam filem sebanyak empat kali sebelum berumur 17 tahun.

Kebanyakan pelakon cilik yang lain lebih memilih untuk sambung belajar atau bekerja dalam bidang lain berbanding terus menceburkan diri dalam industri seni perfileman India.

Artikel Lain Untuk Di Baca