Menyamar Sebagai Kanak-Kanak Hilang, Ini 8 Kisah Orang Dewasa Yang Ingin Muda Semula

Kes kanak-kanak yatim berbangsa Ukraine yang dituduh sebagai seorang wanita dewasa menjadi tular di internet pada bulan September lalu. Kanak-kanak tersebut, Natalia mempunyai penyakit yang jarang ditemui mengakibatkan pertumbuhan fizikal gadis itu terbantut. Hal ini menyebabkan umur sebenar gadis itu masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

Walaupun kes Natalia ini masih menjadi satu misteri, kejadian berpura-pura sebagai seorang kanak-kanak atau remaja bukanlah sesuatu yang baharu.

Berikut merupakan lapan kisah orang dewasa yang berlakon sebagai remaja.

1. Sidney Bouvier Gilstrap-Portley

Menurut Dallas Morning News, Sidney menyamar sebagai remaja 17 tahun kerana mahu bermain bola keranjang di Hillcrest High School di Dallas, Texas. Malah, lelaki tersebut juga dilaporkan bercinta dengan seorang gadis berusia 14 tahun dari sekolah yang sama sebagai cara untuk mengukuhkan lagi identiti palsunya.

Realitinya, Sidney merupakan seorang dewasa yang berusia 25 tahun. Semasa di zaman persekolahan, lelaki tersebut merupakan pemain bola keranjang yang mewakili sekolahnya pada tahun 2011.

Walau bagaimanapun, penipuannya terbongkar apabila seorang jurulatih sekolah lamanya mengecam lelaki itu di sebuah pertandingan bola keranjang.

Sidney telah mengaku bersalah kerana menyamar sebagai seorang pelajar sekolah dan menerima hukuman penjara selama enam tahun atas kesalahan bercinta dengan gadis bawah umur dan mencipta identiti palsu.

Menurut bapa Sidney, anaknya itu sudah bertunang dan mempunyai seorang anak kecil. Jelasnya lagi, anaknya tidak bermaksud jahat dan hanya mahu melalui zaman persekolahan tinggi semula.

2. Charity Johnson

Seorang wanita berusia 34 tahun yang berasal dari Texas telah menyamar sebagai seorang pelajar sekolah tinggi hampir keseluruhan tahun persekolahan antara 2013 dan 2014.

Charity Anne Johnson didapati bersalah atas jenayah itu dan dihukum penjara selama 85 hari pada tahun 2014.

Wanita itu telah berjaya memperdayakan warga New Life Christian School di Longview, Texas pada Oktober 2013. Dia ditahan pada June 2014 setelah menunjukkan kad pengenalan diri palsu kepada pihak polis. Apabila disoal mengenai motif perlakuannya, Charity berkata dia telah diabaikan oleh keluarganya dan mahu mencari cinta.

“Saya hanya manusia biasa yang mahu menamatkan pelajaran dan menjadi orang yang lebih baik,” ujar wanita berkenaan.

3. Artur Samarin

Setelah visanya tamat, lelaki ini enggan pulang ke tanah airnya di Ukraine. Lelaki tersebut telah bertindak menyamar sebagai seorang pelajar sekolah tinggi dengan menggunakan nama Asher Potts.

Apabila di sekolah, Artur telah membanggakan guru-gurunya dengan pencapaian gred purata sebanyak 4.16 CGPA.

Walaupun polis tidak mendedahkan bagaimana mereka mengetahui Artur menggunakan identiti palsu, lelaki tersebut telah dihukum penjara selama dua bulan.

4. Brian Michael Rini

Brian Michael Rini, 24 memberitahu pihak berkuasa pada April lalu bahawa dia merupakan Timmothy Pitzen, kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Chicago pada 2011.

Brian melakukan penipuan tersebut sewaktu berusia 14 tahun. Menurut lelaki itu lagi, dia berjaya melarikan diri daripada penculiknya di Ohio dan sudah dilaporkan hilang sejak lapan tahun lalu setelah ibunya membunuh diri.

Walau bagaimanapun, identiti lelaki itu terbongkar setelah ujian DNA dilakukan oleh pihak berkuasa. Motif kejadian masih tidak diketahui. Manakala Timmothy Pitzen yang sebenar masih lagi hilang.

5. Frédéric Bourdin

Lelaki warga Perancis, Frédéric Bourdin memberitahu satu keluarga Amerika bahawa dia merupakan anak lelaki mereka, Nicholas Barclay, 13 yang telah dilaporkan hilang pada 1994.

Menurut Frédéric yang ketika itu berusia 23 tahun, dia telah diculik, diterbangkan ke Eropah dan didera oleh seorang pedofilia sebelum berjaya melarikan diri. Keluarga tersebut terus terbang ke Sepanyol untuk mengambil semula Frédéric yang dikiranya sudah ditemui.

Tembelang lelaki itu pecah apabila dia gagal memberikan keterangan terperinci apabila disoal mengenai ‘penculikannya’ dalam satu rancangan televisyen. Frédéric disabitkan bersalah dan dihukum penjara selama enam tahun.

6. Guerdwich Montimere

Guerdwich menerima hukuman penjara selama dua tahun setelah didapati bersalah menyamar sebagai seorang anak yatim berusia 16 tahun yang berasal dari Haiti. Motif kejadian adalah kerana Guerdwich mahu menyertai pasukan bola keranjang Odessa Permian High School pada 2009. Pada 2010, dia yang menyamar menggunakan nama Jerry Joseph sudah dijanjikan masa depan yang cerah selepas tamat sekolah tinggi.

Namun begitu, penyamarannya terbongkar setelah seorang jurulatih dari sekolah lamanya mengenali lelaki tersebut. Selain didapati bersalah kerana memalsukan dokumen, Guerdwich juga dituduh atas kesalahan mengadakan hubungan seks dengan seorang gadis bawah umur.

7. Taylor Markeith Smith

Pada tahun 2011, Taylor Markeith Smith didapati bersalah menyamar sebagai seorang pelajar sekolah tinggi untuk bermain dalam pasukan rugbi di 13 sekolah tinggi berbeza di serata Texas.

Status kes ini masih menjadi misteri kerana pihak polis tidak berjaya menangkap lelaki itu berikutan dia sering melarikan diri sebaik sahaja mengesan bahawa penipuannya diragui.

8. Michaelann Goodrich

Michaelann Goodrich, 32 didapati bersalah selepas dia menyamar sebagai remaja 15 tahun untuk masuk ke sebuah sekolah tinggi di New York pada 2018.

Pihak polis tidak mengetahui punca Michaelann melakukan sedemikian namun wanita itu tetap ditahan polis akibat memalsukan identiti pada bulan Disember 2018.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca