Menunggang Motor Ke Phuket, Abang Imigresen Ini Berkongsi Travelog 3 Hari 2 Malamnya Ke Sana

Catatan travelog Phuket ini ditulis oleh Ameer Gahari.

Benda ini dah lama orang buat sebenarnya, baik naik motor kecil, motor besar, ataupun kayuh basikal pi Phuket. Jadi, takdak apa la yang aku boleh bangga sangat, cuma untuk kepuasan diri sendiri. Alhamdulilah tahun 2018 baru dapat dicapai impian aku ni dek kerana kekangan masa, kewangan dan lain-lain.

Kami pi sana 5 orang. Aku, She, Dien, Krol dan Bro Madi. Antara depa ni, aku kenal She sorang saja sebab kami satu pejabat. Dah tu, macam mana mai lagi 3 orang tu? Haa, kalau nak tau Dien dengan Krol tu member sekolah She, manakala Bro Madi ni member kepada Krol. Bro Madi ni kira paling otai dalam group ni, manakala She, Dien dan Krol sebaya dan aku yang paling muda. Walaupun aku tak kenai yang lain pada mulanya, tapi aku tak perlu ambik masa lama pun untuk ngam dengan depa ni. Sebab apa? Sebab dalam masa 5 minit mula-mula berjumpa, kami dah bersembang pasai anak bini, politik semasa, pasaran saham dan macam-macam hal-hal duniawi lagi. Sangat mudah untuk dapat chemistry tu. Alhamdulilah.

Jadi, kami berjanji Melayu nak meet up kat Stesen Minyak Wang Kelian pada pukul 8 pagi. Biasalah dah nama pun janji Melayu, lepas isi minyak full tank siap-siap, pukul 9 lebih jugak baru boleh gerak ke sempadan. Kami decide ikut pintu sempadan Wang Kelian-Wang Prachan.

Ini aku kongsikan sedikit pesanan masa tiba di sini:

Untuk pengetahuan semua, kat sempadan, untuk urusan semua dokumentasi, ianya terbahagi kepada 2 bahagian iaitu bahagian Malaysia dan bahagian Thailand.

1.Di bahagian Malaysia, mula-mula sekali kita kena serahkan dokumen perjalanan kepada pihak Imigresen. Semasa bagi passport tu, pastikan kita bagi passport sahaja noo. Tolong la tanggal sat cover passport tu. Percaya la, benda tu akan melambatkan proses dokumentasi.

2. Satu lagi, white card tu pun simpan dulu, dah terang-terang tulis situ “IMMIGRATION THAILAND” kan, jadinya benda tu memang akan guna kat Thailand sana.

3. Pastu hat ni memang peringatan khas untuk geng moto yang clutch tangan dan tiada raga, passport tu kalau boleh masa bawak moto tu hampa pegang la noo, ataupun simpan dalam poket jaket ka, selit kat fairing motor ka. JANGAN KEMAM PASSPORT DENGAN MULUT ATAU GIGIT NOO. Jijik woi tau dak, kesian sama kat pegawai yang nak clearkan passport hampa tu nak kena pegang passport hampa. Nanti kalau dia buat muka, hampa viral pulak. Sayanglah motor dah elok dah, tapi perangai buruk.

Ok, lepas setel kat bahagian Malaysia, kena pi setel kat bahagian Thailand pulak.

1.Kat Thailand kena turun beratur sorang-sorang noo, hampa naik pi la apa pun, jalan kaki, motor, kereta, bas, teksi; semua kena turun, tak ada pengecualian.

2. Masa bagi passport dekat Imigresen Thailand, masa ni hampa bagi la white card tu, masa ini la baru guna tau.

3. Lepas dah setel urusan passport, kami pi kat Kastam Thailand pulak untuk dokumentasi kenderaan. Kat sini kena bagi geran (asal atau fotokopi) dan passport untuk depa key in data. Nanti dah setel, Kastam Thailand akan bagi satu slip. Slip ni kena simpan elok-elok noo sebab nanti masa nak balik ke Malaysia, kita kena serah balik slip nie kat Kastam Thailand. Kalau tak serah, nanti kenderaan kita akan disenaraihitam dan tidak dibenarkan masuk lagi ke Thailand.

4. Satu lagi tips untuk kenderaan yang bukan nama kita, make sure mintak owner asal (penama dalam geran) buat satu surat kebenaran yang mengatakan telah bagi kebenaran kepada kita menggunakan kenderaan dia noo. Pastu kena pi buat insurans kenderaan. Benda ini tak wajib pun, dan pihak berkuasa Thailand kat CIQ pun tak akan mintak tengok sama ada kita buat atau dak. Yang paling penting cuma slip declaration yang kena buat kat Kastam tadi ja. Tapi aku nasihatkan buat jugak la insuran ni, in case kalau terjadi sebarang kemalangan kat Thailand (minta-minta dijauhkanlah noo), kita boleh claim balik. Insuran nie harga pun berbaloi, untuk motosikal 150 cc, hanya RM23 untuk perlindungan selama 9 hari. Memang tak rugi pun kalau amik.

Ok, selepas setel semua tu, dimulakan dengan Bismillahirahmanirrahim, maka bermulalah ride kami.

HARI PERTAMA

10.30 pagi – Kami berhenti sarapan kat Pekan Cina, lebih kurang 25km dari sempadan. Boleh juga tukar duit kat sini. Masa aku tukar hari tu, rate 8.15, kira ok jugak la tu. Pastu boleh juga beli sim card untuk kegunaan internet. Benda penting tau internet ni. Selain dari guna untuk on waze, boleh jugak guna untuk update IG dan FB kan. Alah, benda normal la tu. Hahahaha. Aku ambik simcard DTAC. Serius laju wei. Aku amik yang untuk kegunaan data sahaja, RM36 untuk seminggu dengan unlimited data. Memang berbaloi.

Kami meneruskan perjalanan lagi, alhamdulilah cuaca amat baik. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan yang menarik. Kami berhenti topup minyak di beberapa tempat. Antaranya Thung Wa, Sikao dan Krabi.

3 petang – Kami sampai kat Krabi. Ada lebih kurang 180km lagi nak sampai Phuket, jadi kami berhenti makan dulu dan solat sekali. Toilet kat stesen minyak jangan bimbang, memang bersih dan ada paip.Surau pun ada disediakan. Selepas selesai semua, kami sambung ride lagi. Lepas dari Krabi ni barulah hujan turun, tapi tak la lebat pun. Cuma renyai-ranyai manja saja. Kira tak basah lencun la. Pastu kami berhenti topup minyak lagi kat Phang Nga. Perjalanan diteruskan menuju ke Phuket yang dah terbayang-bayang di mata.

6 petang – Alhamdulilah, selepas hampir 8 ke 9 jam atas motor (kebas pungkoq oii), kami akhirnya sampai di Phuket Island. Nak masuk ke Phuket Island ni, kita akan lalu kat Surasin Bridge. Kat sini akan nampak dah laut yang indah membiru memanggil-mangil. Fuhh. Elok sungguh laut dia, warna biru kehijauan, memang berbaloilah penat ride jauh bila dapat tengok pemandangan cantik macam ni kat depan mata. Lepas tu akan melalui Phuket Gateway. Phuket Gateway ni lebih kurang macam CIQ kat border la. Cuma kita lalu saja, tak payah berhenti. Kat lorong tu ada kamera dok rakam. Aku rasa ini untuk kawalan keselamatan tempat ni kot.

Jadi, lepas tu kami terus pi cari hotel. Kami tak booking awal sebab la ni bukan peak season, jadi memang boleh pi walk in gitu ja. Kami plan nak dok dekat area Patong Beach sebab dengar kata situ happening. Dari Gateway nak pi Patong nie ada la lebih kurang 40 km. Gila jauh jugak tu dan rupa-rupanya Phuket Island ni besar jugak pulaunya. Hahahaha aku baru tau. Dok ingatkan besar negeri Perlis ja, atau maybe besar sikit ja kot. Rupanya aku silap.

7.30 petang – Ada lebih kurang sejam lebih jugak la nak sampai kat Patong. Selain dari jalan kecik (jalan 2 lane; satu lorong pi, satu lorong balik), jalan dia berbukit-bukit macam roller coaster. Kenderaan pun banyak kat atas jalan. Aku tak boleh bayang kalau peak season macam mana, mesti jam gila-gila punya.

7.45 petang – Bro Madi bawak kami pi dok kat Boomerang Inn, dia rekomen situ. Sebenarnya banyak kali jugak Bro Madi sampai Phuket ini, memang tak stay kat lain dah dia kata. Bagi aku, aku follow ja mana-mana pun, janji selesa dah la. Kat sini boleh parking moto depan hotel. Berdekatan hotel ada banyak kedai makan, kedai serbaneka, tempat massage, sewa moto, van, tut-tut, bar semua ada la. Memang sentiasa ada orang, jadi tak takut sangatlah nak parking motor. Kami ambik 2 bilik, dapat bilik bertiga, 2 malam rm150 sebilik. Memang berbaloi. Bilik cantik, ada balkoni dengan pemandangan ‘cantik’. Hehehehe.

9.30 malam – Lepas check in, mandi-manda solat apa semua, kami keluaq jalan kaki ronda-ronda cari makan. Bro Madi bawak pi makan kat kedai sebelah Masjid Nurul Islam. Sorry sangat aku terlupa nama kedai tu apa, tapi tomyam dia bagi aku memang power, teringat sampai hari ni. Yang lain tu biasa-biasa ja. Pastu portion dia besaq no, satu mangkuk tomyam tu aku rasa boleh makan 3 orang. Kami hari tu order sorang semangkuk, jenuh nak bagi perabih la hahahhaha. Portion besar jadi harga pun besaq la, tapi kalau share aku rasa memang jimat jugak.

11 malam – Lepas makan tu, destinasi pertama aku ajak depa pi Hard Rock Café Phuket la. Aku mula-mula masa She ajak ride dulu jadi berat jugak nak mai. Ya lah dah tak pernah naik moto jauh-jauh, tapi bila aku pikir kat Phuket ni ada Hard Rock, semangat tu terus membara, sebab aku ada la dok collect sikit-sikit barang Hard Rock ni. Tengok dalam Google Maps lebih kurang 2km dari kedai tempat kami makan, jadi kami decide nak naik tut-tut pi sana, masa balik baru jalan sebab akan lalu kat Bangla Walking Street. Naik tut-tut 200 Baht, tong-tong sorang 40 baht.

12 malam – Lepas beli barang sikit, kami berjalan balik ke hotel. Kami lalu kat Bangla Walking Street, singgah sat cuci mata. Sepanjang jalan ni, bangunan kiri dan kanan adalah bar dan disco. Tang nie la yang paling happening. Jadi, kalau niat hampa nak tengok tempat orang tambah pengalaman, go on ja, terpulang pada diri masing-masing. Bagi aku, setiap bandar kat dunia ni ada sisi gelap masing-masing, jadi kita kena pandai menilai mana satu intan mana satu permata noo.

Lepas sampai kat hotel, kami sembang bohong lebih kurang dulu kat lobby, buat ubat bagi mengantuk, lepas tu naik bilik terus lena.

HARI KEDUA

9.30 pagi – Kami breakfast kat kedai belakang hotel. Sekali lagi, aku tak alert nama kedai, maafkan aku. Aku makan roti canai dengan nasik Khao Mok. Nasik ni kaler kuning dengan ayam goreng, lebih kurang macam nasik ganja kat Repoh tu laa. Yang lain pun makan lebih kurang sama, Bro Madi dengan Dien siap order tambah telor separuh masak. Jangan bimbang dengan masalah bahasa kat sini.Ada kedai boleh cakap Melayu dan Inggeris selain dari bahasa Thai. Tapi kalau depa tak boleh cakap pun, aku rasa tak jadi masalah sebab kat menu ada gambaq makanan. Dan kalau kita cakap Melayu atau Inggeris pun, ada sesetengah tu depa paham, cuma nak reply kat kita ja depa tak reti. Lepas makan, kami balik hotel semula. Meeting sat kat lobby, dok bincang aktiviti untuk hari kedua ni.

11 pagi – Bro Madi cadang supaya sewa van private siap pemandu untuk pi ronda-ronda tempat menarik di sini. So, kami pun setuju ja, follow ja orang berpengalaman. Masa ni kami jumpa dengan orang tempatan, Chad Wutti aka Mr. Joe. Lepas lama dok sembang, dia pun setuju untuk bawak kami ronda pulau. Van dia memang high class betui. Ruang dalaman macam dalam flight oii, mewah betui, memang sangat selesa. Mula-mula dia bawak kami pi Kata Beach. Kami berhenti tangkap gambaq ja sebab tak bawak baju mandi. Lagipun memang plan nak ronda-ronda dulu, nanti petang baru nak mandi-manda.

1 tengahari – Lepas tu singgah kat Karon Beach dan Karon View Point. Kat sini atas bukit, ada view point. Lawa pemandangannya.

2 petang – Lepas tu pi tempat yang aku nanti-nantikan, Promthep Cape. Sini macam Simpang Mengayau kat Kudat, Sabah. Merupakan tanah paling hujung kat Phuket Island. Mengikut kata Mr Joe, nanti time sunset baru ramai orang mai. Takpala, maybe next time aku mai tengok sunset kat sini. Kami berhenti lama jugak kat sini, seronok dok amik gambaq, layan pemandangan. Walaupun cuaca agak panas tapi kami bernasib baik sebab tak membahang. Mungkin disebabkan oleh angin kuat.

3 petang – Tempat seterusnya Mr Joe bawak kami pi kilang pemprosesan cashew nut atau biji gajus. Masa sampai sini, aku jadi tak sedap perut nak muntah sebab dalam van masa perjalanan tadi aku dok ralit tengok henset. Turun dari van jadi mual gena tah tak tau nak habaq, dok tahan ja tak bagi muntah. Kalau muntah, sampai bila-bila la dok kena bahan dengan geng-geng ni. Jadi aku lepak ja kat luar kilang dengan Mr Joe. She, Dien, Krol dan Bro Madi masuk dalam. Mr Joe ni memang peramah, ada saja modal dia nak cerita. Aku ada ambik bisnes card dia, jadi kalau ada sapa nak pi Phuket, aku memang rekomen sangat untuk menggunakan perkhidmatan van Mr Joe ni.

3.30 petang – Dalam 20 minit, She, Dien, Krol dan Bro Madi pun keluaq dari kilang. Depa ada beli kacang gajus nak bawak balik Malaysia. Ada macam-macam perasa noo selain dari original. Lepas tu Mr Joe bawak kami pi shopping baju di Factory Tshirt Outlet. Kedai ni betui-betui kat town Phuket, dekat dengan Ikea Phuket. Ya sini ada Ikea dan aku tak dan singgah pun. Maybe next time. Kat outlet ni baju memang murah sungguh-sungguh dari tempat lain. Specialnya kat sini, pekerja dia semua boleh cakap Melayu, kebanyakannya dari Pattani. Kat sini jugak kita boleh bayar dengan duit RM. Cuma rate dia rendah sikit daripada rate semasa. Kalau hampa sayang nak guna BAHT, bolehlah guna RM. BAHT tu nanti boleh guna kat tempat lain kan.

Lepas ni kami terus balik ke hotel. Masa nak sampai tu, lalu kat jalan Masjid Nurul Islam. So, kami mintak Mr Joe drop kami kat sini ja.

4 petang – Lepas salam-salam dan berterima kasih lebih kurang dengan Mr Joe, kami pun pi makan kat Kedai Saveena Halal Food. Kedai nie seberang jalan, berhadapan dengan masjid.

5 petang – Lepas makan, kami berjalan kaki balik hotel.

6.30 petang – Lepas rehat sat, kami keluaq pi ronda-ronda lagi kat Patong Beach. Ayaq pantai sini biasa-biasa ja, tak secantik Kata Beach atau yang lain. Ombak memang kuat, aku mandi dekat-dekat ja, tak berani nak pi kat tengah sangat. Lepas tu layan acah-acah sunset sebab haram tak jelas pun hahahaha. Kami balik hotel lepas tu.

10 malam – Malam tu dok packing-packing barang dah, ready untuk ride balik besok pagi. Lepas setel semua, aku ajak She keluaq minum area dekat-dekat hotel. Kami pi lepak kat hotel Andaman Embrace Patong tengok live band. Pastu Dien dengan Krol mai join kami berdua. Bro Madi lepak kat bilik saja, segan nak keluaq katanya. Lepas dok minum, sembang-sembang bohong kami balik hotel dan tidur. Good night dan mimpi indah.

HARI KETIGA

8 pagi – Semalam tu dah janji dah pukul 7 tayar golek.Tapi biasa la janji Melayu, jadi pukul 8 jugak la hahahaha. Selesai check out, kami singgah dulu isi minyak siap-siap. Kat area situ ada Caltex. Sini kena hati-hati noo kalau nanti hampa mai. Bila isi minyak tu, hampa tengok betui-betui berapa jumlahnya, sebab pump attendant bagi balance tak cukup kat aku. Mula-mula aku macam nak buat dunno ja, tapi aku ada terbaca notis kat mesin tu noo. Notis tu siap habaq kata pump attendant selalu dok bagi balance tak cukup. Kahkahkah. Bagus betui pihak pengurusan Caltex nix sebab buat notis bagi public baca. So aku pun bagitau elok-elok kata balance tak cukup dan dia pun bagi baki balance tu. Yang penting cakap baik-baik. Ingat kita dok kat tempat orang noo, jangan nak tunjuk lagak.

8.20 pagi – Kedai breakfast pagi tu nama Hawa Kitchen, aku order Roti bakaq ja. Aku ingatkan roti potong dua keping sapu planta dengan gula, rupanya siap ada sosej dengan telur mata lagi. Nasib baik tak order dua set.

9 pagi – Lepas setel makan, kami pun memulakan perjalanan bergerak pulang ke Malaysia. Krol ajak singgah Ao Nang dulu sebab dia nak survey hotel untuk client dia. Nanti bulan 10, Krol akan jadi tourist guide untuk cliet tu mai Krabi dan Ao Nang. Masa perjalanan balik ni barulah kena hujan lebat. Habih basah lencun noo walaupun pakai baju hujan mahal hahaha.

10 pagi – Lepas setel di Ao Nang, memang kami rushing balik sebab kena sampai border Wang Kelian sebelum pukul 7 (border Wang Kelian buka 8 pagi dan tutup 7 malam). Lagipun tak boleh nak laju sebab hujan lebat. Kami sempat la singgah di beberapa stesyen minyak. Antaranya kat Ao Luek, Sikao dan Palian. Berhenti rehat sat, makan roti lapik perut pastu teruskan perjalanan. Aku ingat 3 kali jugaklah baju basah-kering-basah-kering sebelum kami sampai kat Trang.

4 petang – Kami berani berhenti makan dan rehat kat Trang. Sebab mengikut pengalaman Bro Madi, dia kata memang sempat sampai border Wang Kelian kalau dah sampai pekan Trang pukul 4. Lepas makan dan berehat sat, pukul 4.45 petang kami gerak. Cuaca dah ok dan tak hujan dah. Berenti isi minyak sekali lagi kat Ta Phae sebelum nak sampai Pekan Cina. Bila sampai sini, aku rasa lega yang amat dah sebab dah dekat dan tempat ni pun dah familiar.

6.45 petang – Sampai kat border Wang Kelian. Jangan lupa hantar balik slip declaration kenderaan yang buat masa masuk dulu dekat Kastam Thailand noo. Lepas tu clear passport dekat Imigresen Thailand dan Malaysia.

Aku sampai rumah dalam 8.30 malam. Cepat kan? Sebab rumah aku kat Perlis ja. Hahaha!

Alhamdulilah, selamat perjalanan aku pergi dan balik. Walaupun badan letih, tapi pengalaman yang aku dapat ni memang berbaloi.

Aku habiskan cerita ni dengan petikan kata Albert Camus, “Anda tidak boleh mencipta pengalaman, anda mesti menghadapinya.”

Jumpa lagi next ride J.

 

Artikel Lain Untuk Di Baca