Sempena dengan Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL) yang bakal berlangsung pada Februari depan, kami ingin mengimbas kembali 5 juara yang kemenangannya tidak disangkakan.
1. Mimpi Laila,2001
Lagu Mimpi Laila nyanyian Yasin Sulaiman menjadi juara AJL pada tahun 2001. Kemenangan yang memang tidak diduga oleh peminat muzik tanah air. Mimpi Laila turut bersaing dengan lagu-lagu yang hebat seperti Andainya Ku Bersuara (Liza Hanim), Ya Maulai (Siti Nurhaliza), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah) dan Menyemai Cinta Bersamamu (Nora).
Ramai yang menjangkakan bahawa lagu Menyemai Cinta Bersamamu nyanyian Nora yang akan menjadi juara pada tahun itu. Tapi apakan daya rezeki tidak menyebelahi beliau.
2. Terlalu Istimewa, 2006
Lagu Terlalu Istimewa ini memang cukup ‘istimewa’ bagi Adibah Noor. Kali pertama beliau memasuki AJL dan terus menjadi juara keseluruhan. Pada awalnya ramai yang begitu yakin bahawa lagu nyanyian Zahid iaitu Warkah Untuk Laila yang akan menjadi juara kerana lirik dan lagu tersebut begitu menarik dan membawa maksud yang lebih tersirat kepada penonton.
Tetapi mungkin bagi pendapat juri lagu Terlalu Istimewa yang lebih layak bergelar juara. Siapa sangka pertama kali bertanding dan terus diangkat menjadi juara. Betul kata orang ‘tuah ayam nampak di kaki tuah manusia tiada siapa yang tahu’.
3. Itu Kamu, 2007
Walaupun ramai yang menjangkakan lagu Mahakarya Cinta nyanyian Faizal Tahir yang akan dinobatkan sebagai juara pada tahun itu tetapi ramalan tersebut ternyata tidak tepat apabila lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged diangkat sebagai juara AJL ke-22. Ramai yang begitu terkejut dengan keputusan tersebut, tetapi mereka harus akur kerana pemilihan dilakukan oleh juri profesional.
4. Tolong Ingatkan Aku, 2010
Kemenangan lagu Tolong Ingatkan Aku dendangan Ana Raffali menjadi kontroversi kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan juri pada malam itu. Ada yang menggelarkan lagu tersebut sebagai ‘sampah’ dan tidak layak untuk dipertandingkan apatah lagi untuk diangkat sebagai juara.
Amy Search selaku salah seorang juri turut terkejut dengan keputusan itu. Malahan, beliau menganggap lagu nyanyian Yuna yang bertajuk Cinta Sempurna lebih layak untuk dinobatkan sebagai juara AJL ke-25 kerana beliau berpendapat lagu tersebut lebih menusuk jiwa.
5. Jampi, 2017
Anugerah Juara Lagu ke-32 menyaksikan lagu Jampi nyanyian Hael Husaini dinobatkan sebagai juara. Ada yang sudah menjangkakan kemenangan lagu tersebut kerana popularitinya. Tetapi lebih ramai menjangkakan lagu nyanyian Haqiem Rusli, Tergantung Sepi yang lebih layak diangkat sebagai juara. Hal ini kerana lirik dan melodi lagu tersebut lebih membawa maksud berbanding dengan lagu Jampi.
Jadi apa pula pendapat anda? Adakah juara AJL ke-33 nanti turut menyaksikan juaranya daripada calon yang tidak disangka?
Artikel seterusnya kami akan kongsikan ramalan lagu yang bakal dinobatkan sebagai juara pada Anugerah Juara Lagu Ke-33.