Jatuh Hukuman Mati Secara Dalam Talian, Mahkamah Indonesia Terima Kritikan Hebat

Pihak Mahkamah di Indonesia yang menjatuhkan hukuman mati terhadap para banduan melalui aplikasi Zoom telah menerima kritikan hebat, terutamanya daripada pihak pendukung hak asasi manusia.

Perkara itu dikatakan tidak berperikemanusiaan dan merupakan satu penghinaan kepada para banduan yang sedang berdepan dengan maut.

Sejak awal tahun lepas, hampir 100 banduan dikatakan telah menerima hukuman mati oleh pihak mahkamah di Indonesia yang dipantau melalui skrin televisyen sahaja.

Indonesia sememangnya terkenal dengan ketegasan mereka dalam undang-undang antidadah yang tidak mengira sama ada pesalah itu ialah warganegara mereka atau warga asing.

Bulan ini sahaja, hampir 13 ahli daripada sindiket pemerdagangan manusia, termasuk tiga warga Iran dan seorang warga Pakistan, telah dijatuhkan hukuman mati secara atas talian atas dakwaan menyeludup 400 kilogram metamfetamin ke Indonesia.

Pada Rabu yang lalu, mahkamah Indonesia juga telah menjatuhkan hukuman mati melalui aplikasi Zoom terhadap enam orang militan berikutan daripada kes rusuhan penjara yang menyebabkan kematian lima anggota skuad pengganas Indonesia pada tahun 2018.

Pengarah Amnesty International Indonesia memaklumkan bahawa perkara ini ialah soal hidup dan mati seseorang dan penjatuhan hukuman secara maya ini menafikan hak defendan yang sedang berdepan dengan hukuman mati.

Tambahnya lagi, trend hukuman mati secara online ini menambahkan tidak berkeperimanusiaan dan ketidakadilan hukuman yang sudah sememangnya kejam.

Hukuman mati melalui aplikasi video seperti Zoom ini bermula akibat daripada penularan wabak COVID-19 yang telah mengganggu banyak prosiding jenayah.

Sambungan internet yang teruk telah sedikit sebanyak mengganggu proses perbicaraan secara online ini dan menyebabkan para defendan tidak dapat mengambil bahagian sepenuhnya.

Dalam pada itu, rata-rata para peguam juga menghadapi masalah untuk berhubung dengan klien mereka secara atas talian.

Tambahan pula, keluarga pihak tertuduh juga dihalang daripada memasuki ruang perbicaraan yang kebiasaannya terbuka untuk umum.

Pihak NGO Harm Reduction International juga berkata bahawa platform maya ini boleh mendedahkan pihak tertuduh terhadap pelanggaran hak perbicaraan yang adil serta menjejaskan kualiti pembelaan.

Negara jiran mereka, Singapura juga pernah menjatuhkan hukuman gantung secara online, namun hanya sekali sahaja semenjak penularan wabak COVID-19 ini bermula.

Hampir 500 orang, termasuk warga asing sedang menunggu hukuman di mana para banduan akan dibawa masuk ke hutan, diikat dan dieksekusi melalui tembakan.

Sudah hampir beberapa tahun Indonesia tidak lagi mengeksekusi para banduan mereka dengan cara sedemikian.

Namun begitu, mahkamah Indonesia memutuskan untuk meneruskan hukuman tersebut kerana jenayah yang berlaku semakin berleluasa semenjak kes penularan COVID-19 ini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca