Seorang pembantu kedai makan menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya terlanggar seekor kucing yang sedang melintas jalan. Kejadian ini dilaporkan berlaku di Jalan Sultan Abdul Halim berdekatan Pejabat Daerah Baling pada malam tadi.
Dalam insiden sekitar jam 12 tengah malam itu, mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Syed Basri Syed Ali, siasatan awal mendapati mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Azam Wahab itu menunggang motosikal dari arah Pekan Baling menghala ke bulatan Sultan Abdul Halim Baling.

Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa yang berusia 27 tahun itu dipercayai terlanggar kucing yang sedang melintas jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pasu bunga di atas batu pembahagi jalan di tengah laluan.

Memetik laporan Harian Metro, mangsa kemudian dikatakan terjatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kemalangan itu juga turut meragut nyawa kucing berkenaan.
“Mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim (HK) untuk proses bedah siasat,” kata Syed Basri.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sebelum ini, kami pernah melaporkan kes lima sekeluarga yang nyaris maut di mana kereta mereka terbakar selepas terlanggar lembu. Untuk baca artikel penuh dan artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: