Untuk anda yang baru ingin menjinakkan diri dalam dunia pendakian ataupun teringin berkelah di atas puncak bukit bersama keluarga sambil menikmati panorama yang indah, kali ini kami kongsikan 5 puncak bukit yang mempunyai pemandangan 360 darjah yang mendamaikan:
1. Bukit Berekeh
Nama Bukit Berekeh asalnya adalah Bukit Berakeh atau dipanggil juga sebagai Bukit Botak. Ketinggiannya adalah kira-kira 1940 kaki atau 454 meter dari paras laut. Bukit ini terletak di Kampung Bawong, Lasah dalam Mukim Pulau Kemiri, Perak Darul Ridzuan.
Bukit Berekeh sesuai untuk penggemar fotografi yang ingin merakamkan gambar-gambar matahari terbit dan matahari terbenam. Di puncak Bukit Barekeh anda akan disajikan dengan awan karpet putih dan angin yang dingin lagi mendamaikan. Di sana bolehlah anda bersantai sebentar dengan melihat panorama yang cukup indah sambil menghirup secawan kopi dan menikmati sebungkus nasi lemak.
2. Bukit Broga
Bila sebut Bukit Broga pasti ramai orang sudah tahu serba sedikit tentang bukit popular ini. Bukit ini sering menjadi pilihan untuk beraktiviti santai bersama kawan-kawan atau seisi keluarga.
Bukit Broga terletak berhampiran pekan Broga(Beroga) yang jaraknya ± 12km dari Semenyih, Selangor Darul Ehsan. Ia juga dikenali sebagai Bukit Lalang kerana puncaknya yang tidak banyak pokok dan ditumbuhi dengan rumput dan lalang. Bukit Broga berketinggian 400 meter dari paras laut.
Kalau anda nak tahu, Bukit Broga pernah menjadi lokasi luar penggambaran perkahwinan angkasawan pertama Malaysia. Jadi, tak hairanlah Bukit Broga popular sebagai tempat untuk bergambar yang indah.
3. Bukit Senaling
Dengan ketinggian 394 meter, bukit yang terletak di Senaling, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini juga merupakan tarikan panorama yang mengagumkan.
Bukit Senaling bukan sahaja menawarkan pemandangan yang menarik malah pendaki akan menikmati persona awan karpet yang sangat memukau setelah tiba di puncak. Puncak bukit juga akan ditenggelami dengan awan dan kabus pada jam 10 pagi. Keadaan di puncak bukit yang sejuk dan segar pastinya tidak mahu dilepaskan sekiranya anda berada di sini.
4. Bukit Kutu
Bukit Kutu terletak di Kuala Kubu Bharu (KKB), Hulu Selangor. Bukit Kutu bukan sebarangan bukit. Nama sahaja bukit tetapi ketinggiannya 1053 meter (3455 kaki) sudah seperti gunung. Disebabkan ketinggiannya yang melebihi 1000 meter, ramai pendaki mengatakan bukit ni dah boleh dianggap sebagai gunung.
Namun, pemandangan di atas puncak memang menarik terutama sekali jika dapat berdiri di atas batu besar di puncak sambil menikmati pemandangan empangan KKB. Gabungan udara sejuk dan nyaman, ada bunyi-bunyi burung, dan boleh nampak bandar kecil dari atas sememangnya kombinasi yang terbaik.
5. Bukit Batu Chondong
Bukit Batu Chondong terletak di sebelah Zoo Negara, di sebuah bandar kecil yang dipanggil Kampung Kemensah dengan ketinggian 260 meter dan hanya jarak 410 meter sahaja.
Pendakian Bukit Batu Chondong adalah salah satu daripada pendakian yang paling senang di Kuala Lumpur. Pemandangan di atas puncak Batu Chondong yang sangat memukau dek tatapan kehijauan alam. Di sini juga sangat sesuai bagi jurugambar landskap merakam fenomena matahari terbit.
Jangan lupa bawa snek dan air yang secukupnya bila mendaki. Nak hirup secawan kopi dan menjamu sebungkus nasi lemak di atas puncak pun seronok. Yang penting, keselamatan haruslah didahulukan.