Mengunyah Makanan Dapat Menurunkan Berat Badan

Sewaktu kecil, para ibu sentiasa menasihati anak-anak supaya tidak makan dengan gelojoh malahan lebih elok gigit dalam cebisan kecil dan mengunyah makanan dengan lebih perlahan. Pernahkah kita terfikir apa hikmah atau kebaikan mengunyah makanan dengan perlahan?

Kita sering terlepas pandang tentang perkara remeh seperti mengunyah makanan. Sistem pencernaan yang baik adalah datangnya daripada sistem rembesan air liur yang bertindak mengumpul nutrien penting dalam makanan.

Partikel- partikel kecil (makanan yang dikunyah) yang dihasilkan bersama air liur akan disalurkan ke dalam saluran esophagus. Makanan kemudian melalui dinding perut di mana akan percampuran bersama asid hidroklorik.

Enzim pepsin bertugas untuk mencerna protin dalam makanan dan akan ke peringkat seterusnya untuk proses menyerap nutrien yang lain. Organ-organ yang bertugas dalam sistem pencernaan dapat berfungsi dengan baik apabila mereka menerima partikel makanan dalam saiz yang kecil.

Dengan mengamalkan mengunyah makanan secara lebih perlahan dapat mengurangkan kandungan lemak dan kalori dalam badan. Hal ini dapat dibuktikan dengan seseorang individu yang mengambil masa untuk mengunyah makanan selalunya berupaya makan dalam bahagian yang kecil.

Makan dalam jangka masa yang agak lama dapat memberi peluang kepada otak untuk menghantar impuls kepada perut bahawa kita sudah kenyang. Maka, kita dapat menghindar daripada pemakanan yang tidak terkawal yang boleh menjurus ke arah masalah berat badan.

Makan bukan sahaja keperluan wajib untuk meneruskan hidup, malah kita perlu menikmatinya dengan penuh apresiasi. Latih diri kita untuk mengambil sedikit masa untuk menikmati pengalaman makan makanan yang mempunyai pelbagai rasa dan tekstur yang pastinya menerangi hari anda. Ia juga boleh dijadikan sebagai platform untuk meningkatkan keupayaan berfikir secara aktif dan mengekalkan emosi yang positif.

Sebelum kita mula merancang untuk mengambil makanan berkhasiat, marilah kita mulakan dahulu dengan mengubah cara kita mengunyah makanan.

Ia mungkin boleh mencabar kesabaran anda untuk menunggu makanan itu dihancurkan dan mungkin mulut anda akan lenguh, tetapi ia bakal memberikan impak yang besar terhadap kesihatan kita.

Penulis

  • Nurulnasuha Sanusi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca