Saya teringat semasa zaman saya muda dahulu – setiap dua minggu akan keluar satu komik atau lebih biasa disebut sebagai majalah Ujang. Gila-Gila ketika kemunculan Ujang telah mula mendapat saingan baru – terutamanya apabila pelukis tonggaknya yang terkenal dengan cerita ‘Aku Budak Minang’ iaitu Ujang menjadi individu di sebalik penerbitan majalah Ujang tersebut.
Saya teringat akan cerita-cerita yang kelakar di dalam majalah itu. Antaranya adalah siri cerita nama negara seperti ‘Asal-Usul Nama Negara Thailand’ yang mengisahkan tali leher Mazlan (tie-Lan), Perancis (Perang-chish) dan banyak lagi asal-usul nama yang akhirnya menjadikan jalan cerita yang macam celaka kelakarnya.
Bagi saya – komik ini saya membesar dan banyak memori bersamanya. Komik ini yang membentuk peribadi ramai generasi X dan millennials yang ada sekarang ni. Berikut saya senaraikan beberapa perkara menarik tentang majalah Ujang:
1. Ujang menjadi pilihan rakyat Malaysia sekitar tahun 1994 ketika kempen gunakan bahasa baku disarankan secara menyeluruh yang menyaksikan pertuturan yang tidak natural dalam perbualan seharian.
Ujang ketika itu telah memberi satu gaya bahasa alternatif – bahasa Ujang. Maka anak muda yang tidak mahu bahasa baku memilih Ujang sebagai kamus rujukan tatabahasa mereka untuk berborak dengan kawan yang lain.
2. Selain itu, Ujang telah mengajar dialek negeri lain seperti dialek Negeri Sembilan, dialek utara dan dialek Kelantan.
3. Maka bermula satu perjalanan penuh epik sebuah komik bernama Ujang. Sejak itu Lawak Antarabangsa menjadi cool dan kisah dengan rock-kapak flavored dari Gayour – Bersama Selamanya menjadi satu cerita yang ramai pengikutnya. Kisah Mat Despatch dua ringgit yang sentiasa membuli bosnya pula dianggap sebagai seorang mamat yang cool – seorang pekerja yang suka memperbodohkan bosnya. Manakala kisah hantu Selangkah Ke Alam Misteri karya kartunis Bawang yang di awal ceritanya seram tetapi di akhirnya bertukar menjadi lawak turut segar dalam ingatan sehingga ke hari ini. Bas Mini Bijan kini menjadi kenangan. Saya percaya 99% anak muda KL yang berusia 18 tahun ke bawah tidak kenal bas mini warna merah jambu yang dahulunya meronda di ibu kota KL seperti yang dipaparkan di dalam komik ini.
4. Saya mula bersandarkan pada kenangan. Tapi, kerana majalah Ujang yang cool inilah, anak muda tak pernah ketinggalan untuk mendapatkannya walaupun hujung bulan hanya makan Maggi dan nasi lauk kicap.
Ini pengalaman saya yang duduk bersama sepupu saya dan beginilah hidup mereka.
Mereka hanya bekerja kilang dengan gaji RM500 sebulan, namun tak pernah miss untuk mendapatkan komik yang berharga RM3.00 pada ketika itu.
5. Ujang jadi bertambah meletup apabila Din Beramboi, watak cereka atau hero utama dalam majalah Ujang ni mengeluarkan ‘album’ yang dipanggil Radio 9 Din Beramboi dan Din Beramboi Live In Seremban, tentang lawak-lawak yang dihasilkan dari konti radio. Satu kaset berharga RM10.00 itu sanggup kami budak-budak sekolah berkongsi wang untuk membelinya.
Setiap kali saya dengar kaset Din Beramboi ini, saya teringatkan DJ Ismahalil Hamzah – DJ Time Highway Radio. Gaya percakapan yang santai serta lawak selamba menyebabkan kami berminat untuk terus mendengarnya.
6. Ada satu masa menurut ABC (Audit Bureau of Circulation), Ujang menduduki tangga teratas menewaskan majalah lain seperti Mangga, URTV, Al-Islam dan Mastika dengan 500,000 naskhah terjual dalam kategori majalah bulanan.
7. Antara elemen yang menjadikan Ujang best gila adalah apabila kartunis Aie melukis komik yang bertajuk ‘Blues Untuk Aku’. Apabila Blues Untuk Aku mula keluar dalam majalah Ujang, jualan Ujang melonjak dua kali ganda dari sebelumnya.
Ia kisah tentang seorang rakyat biasa yang bernama Sahak dengan kawan baik merangkap teman serumah bernama Yon dan awek cun bernama Jessica.
8. Selain Blues Untuk Aku, Bersama Selamanya dan Mat Despatch juga cool dan antara komik yang menjadi killer dalam majalah Ujang ketika itu. Begitu juga dengan Bas Mini si Bijan.
9. Pelukis-pelukis seperti Gayour, Aie, Bijan, Bawang dan pelbagai nama tumbuh-tumbuhan lain serta Nik – Murahguru Tandoori Payat – kisah mamak yang sangat dekat dengan masyarakat Malaysia cukup terkenal dan dekat di hati peminat.
10. Majalah Ujang yang terakhir diterbitkan pada 6 Ogos 2015 kerana permintaan terhadap majalah dan komik tidak lagi menepati kehendak pasaran pada ketika itu.
Walaupun tidak ada lagi majalah Ujang keluaran baru di pasaran, tetapi bagi mereka yang membesar dengan majalah ini, ia terus menjadi suatu memori yang indah dan terus dikenang.
Terima kasih, Ujang atas jasa dan kenangan membawa kami dewasa bersama dengan lawak-lawak antarabangsa kalian!
Dikongsikan oleh Nami Cob Nobbler