Menghidap Sindrom ‘Air Mata Buaya’, Lelaki Ini Menangis Setiap Kali Makan

Biasanya kita sebagai manusia akan menangis apabila terdapat emosi yang kuat mempengaruhi kita, namun aneh sekali untuk seorang lelaki di China ini, dia mempunyai satu keadaan di mana dia akan menangis setiap kali dia makan.

Menurut laporan Oddity Central, lelaki dikenali sebagai Zhang menghidap satu penyakit saraf pelik iaitu sindrom ‘air mata buaya’, suatu keadaan perubatan yang menyebabkannya menitiskan air mata setiap kali ketika makan.

Gambar hiasan.

Sewaktu mula-mula perasan akan reaksi aneh matanya yang akan menangis ketika sedang menikmati makanan, Zhang tidak begitu mengambil endah tentangnya.

Namun, gejala tangisan Zhang menjadi semakin buruk apabila dia perlu mengunyah makanan lebih lama. Hal ini sekaligus menyebabkan Zhang mengelak untuk makan di luar kerana risau air matanya akan mengalir di hadapan orang ramai.

Enggan keluar rumah kerana takut dipandang pelik oleh orang ramai, situasinya itu saban hari mengganggu kehidupan sosial Zhang.

Zhang disahkan menghidap sindrom ‘air mata buaya’. Sumber: Utusan Malaysia


Bulan lalu, selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Wuhan, Zhang didiagnosis dengan sindrom ‘air mata buaya’.

Jelas Dr. Cheng Mian Chinh, Ketua Jabatan Oftalmologi, kondisi Zhang itu berkait rapat dengan kelumpuhan wajah yang dialami olehnya sebelum ini.

“Proses pemulihan dari kelumpuhan wajah mempengaruhi aktiviti kelenjar lakrimal terutamanya pada bahagian mata kirinya.

“Semasa tempoh pemulihan, serat saraf muka menjadi salah arah dan saraf saliva akhirnya mengalir ke kelenjar lakrimal dan bukannya kelenjar submandibular.

“Akibatnya, ia merangsang kelenjar lakrimal untuk menghasilkan air mata,” katanya.

Sementara itu, Zhang dilaporkan menjalani pembedahan dan keadaan kesihatannya kini bertambah baik. 

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca