Menghidap Masalah Jantung, Aguero Terima Hakikat Harus Bersara

Setelah mendapati dirinya menghidapi masalah jantung, penyerang Barcelona, Sergio Aguero terpaksa menerima hakikat bahawa dia harus bersara daripada arena bola sepak.

Dengan perasaan hiba beliau mengumumkan persaraannya daripada bola sepak dalam satu sidang media, sebulan selepas beliau disahkan menghidap masalah jantung.

“Saya memutuskan untuk berhenti bermain secara profesional. Ia keputusan yang sangat sukar tetapi saya gembira dengan keputusan ini. Kesihatan saya lebih penting,” kata beliau kepada sidang media di Camp Nou.

Aguero menangis ketika mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak. Sumber: Berita Harian

Setelah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Barcelona, beliau telah beraksi dalam lima perlawanan untuk kelab tersebut.

Selepas satu perlawanan menentang Alaves, Oktober lalu, beliau dibawa ke hospital kerana mengalami ‘sakit dada’. Doktor kemudiannya mengesahkan bahawa beliau menghidapi masalah jantung dan menyarankan untuk beliau berhenti daripada terus bermain bola sepak.

“Saya mengambil keputusan ini kerana masalah yang saya hadapi lebih sebulan lalu. Doktor sudah melakukan yang terbaik dan mereka katakan jalan terbaik adalah supaya saya berhenti bermain.

“Saya mencuba sedaya upaya menghidupkan harapan tetapi ini adalah penyudahnya. Positifnya adalah mereka mengesan masalah ini sekarang dan bukannya sebelum ini.

“Saya akan tetap gembira dengan kehidupan di luar bola sepak dan cuba menikmati kehidupan ini.”

Sergio Aguero hanya beraksi dalam lima perlawanan untuk kelab Barcelona.

Kareer Aguero atau lebih dikenali sebagai ‘Kun’ bermula di Independiente sebelum menyertai Atletico Madrid pada 2006.

Beliau berjaya memenangi Liga Europa bersama kelab Sepanyol itu sebelum berpindah ke Manchester City pada tahun 2011.

Sedekad kemudian beliau berhijrah pula ke Barcelona dengan meninggalkan rekod penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Manchester City dengan 260 gol.

Sergio Aguero memegang rekod penjaring gol terbanyak sepanjang zaman City dengan 260 biji gol.

Gol ikonik beliau semasa menentang Queen Park Rangers (QPR) yang membolehkan City merangkul kejuaraan liga 2012 akan selamanya diingati terutamanya oleh peminat City.

“Saya bangga dengan karier yang saya harungi. Semua tahu jaringan saya ketika menentang QPR untuk gelaran liga pertama saya tetapi banyak lagi detik yang hebat,” katanya.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca