Sudah lama presiden Korea Utara iaitu Kim Jong-un disyaki mengamalkan pelaksanaan hukuman mati dengan cara yang begitu kejam buat sesiapa sahaja yang menentangnya.
Laporan yang tersebar baru-baru ini melaporkan bahawa Jong-un bertindak mencampakkan salah seorang daripada jeneralnya ke dalam tangki yang dipenuhi dengan ikan pirana. Dia dipercayai berbuat demikian kerana jeneral berkenaan didakwa merancang untuk menjatuhkannya.
Sebelum jeneral yang tidak didedahkan identitinya itu dicampakkan ke dalam tangki berkenaan, beberapa bahagian utama tubuhnya dipotong terlebih dahulu.
Difahamkan, Jong-un mendapat idea untuk melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini daripada filem James Bond iaitu The Spy Who Loved Me yang pertama sekali ditayangkan pada tahun 1977. Dalam filem itu, Helga Brandt menjadi ‘makanan’ buat pirana sebagai hukuman kerana tidak membunuh 007.
Menurut Dr John Hemmings sewaktu memberi taklimat kepada Pejabat Luar Negeri UK dan Kementerian Pertahanan berkaitan isu Asia, kaedah pembunuhan kejam itu sering diadaptasi menerusi filem-filem Hollywood.
Pelaksanaan hukuman bunuh diamalkan oleh pemerintah diktator seperti Jong-un demi mengekalkan penguasaannya, lapor The Sun.
Jong-un didakwa sering menggunakan kekerasan terhadap mereka yang cuba untuk menggulingkannya sejak dia mula berkuasa pada tahun 2011.
Selain itu, Jong-un didakwa memaksa pembelot Hee Yeon Lim untuk ‘menonton’ pembunuhan sekumpulan 11 pemuzik. Mereka ditembak menggunakan senjata anti-pesawat pada tahun 2017 setelah mereka dituduh menghasilkan video pornografi.
Menurut Yeon Lim, selepas ditembak, badan mereka turut digilis dengan kereta kebal.
Pada masa yang sama, Jong-un dikatakan turut membunuh ramai pegawainya dengan bantuan skuad menembak.
Pada April lepas, empat pegawai dari Kementerian Luar menerima nasib yang sama apabila mereka dibunuh di Pyongyang sebaik sahaja rundingan Jong-un dan Trump menemui jalan buntu.
Agensi berita Jepun melaporkan bahawa empat pegawai berkenaan didakwa menjual maklumat kepada Amerika Syarikat sebelum sidang kemuncak Hanoi. Perkara ini sekali gus menjadikan rundingan itu gagal.