Mengandungi Aksi Ganas, Filem SpongeBob SquarePants Diharamkan Bersiaran Di Indonesia?

Stesen televisyen tempatan, GTV diberikan surat amaran oleh Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) pada 5 September lalu kerana menyiarkan filem The SpongeBob SquarePants Movie.

Surat amaran itu menyatakan penyiaran filem itu telah melanggar kod etika (P3) dan standard program (SPS).

Filem terbabit disiarkan pada 6 Ogos lalu, pukul 11.14 pagi pada waktu tempatan dan dikatakan mengandungi aksi ganas seperti memukul muka dengan kayu, menjatuhkan bola boling di atas kepala, melontar penukul ke muka dan membaling pasu kaktus menggunakan raket.

Namun, filem ini disiarkan semula pada 22 Ogos lalu di GTV iaitu pada pukul 3.02 petang dan telah mendapat surat amaran tersebut dua minggu selepas itu.

Siri animasi televisyen, The SpongeBob SquarePants awalnya mengisahkan pengembaraan SpongeBob SquarePants dan rakan-rakannya di sebuah kejiranan fiksyen di dasar laut iaitu Bikini Bottom. Malah siri animasi ini sangat terkenal dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa di seluruh dunia terutama di Amerika Syarikat.

Surat yang dihantar kepada GTV oleh KPI itu merupakan antara amaran-amaran yang dihantar terhadap 14 program televisyen lain.

Timbalan Ketua KPI, Mulyo Hadi Purnomo berkata, suruhanjaya itu hanya menghantar surat amaran.

“Menurut undang-undang, hanya surat amaran diberikan kerana ia merupakan kesalahan kali pertama,” katanya.

Selain GTV, KPI juga menghantar surat amaran kepada Trans 7, ANTV, TV One, Metro TV, Trans TV dan stesen radio Gen FM kerana menyiarkan program yang dianggap tidak bersesuaian.

Siri animasi SpongeBob SquarePants ini mula disiarkan pada tahun 1999 dan dijadikan filem pada tahun 2004. Filem keduanya, The SpongeBob Movie: Sponge Out of Water disiarkan pada 2015 sementara filem ketiga dijadualkan pada 2020.

Tiba-tiba penulis rindu zaman kartun Nickelodeon disiarkan di TV9 sebelum CJ Wow Shop membosankan hari-hari penulis.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca