Tahukah anda bahawa haiwan dalam kategori burung merupakan jenis haiwan yang terpantas yang pernah wujud di atas muka bumi ini berbanding dengan haiwan daratan mahupun haiwan lautan? Burung melampaui haiwan-haiwan lain daripada segi kelajuan. Kelajuan ini biasanya digunakan untuk memburu mangsa atau melarikan diri daripada pemangsa.
Terdapat kira-kira 10,000 spesies burung yang berhasil dijumpai oleh para saintis setakat ini. Terdapat juga burung-burung yang memiliki kelajuan yang luar biasa berbanding burung yang lain. Berikut adalah 5 jenis burung terbang paling laju di dunia:
1. Peregrine Falcon (389.4 kilometer/jam)
Peregrine Falcon bukan sahaja memiliki tahkta teratas daripada segi kelajuan dalam kategori burung malah ia juga merupakan haiwan paling laju di dunia. Kelajuan maksima luar biasa yang dapat dicapai burung dewasa ini adalah 389.4km/jam. Tidak hairanlah mengapa ia merupakan haiwan paling laju di dunia kerana ia mampu menyaingi kelajuan supercar yang paling pantas di dunia.
Burung ini juga terdapat di kebanyakan benua di dunia. Para pengkaji mendapati Peregrine Falcon mempunyai lebih kurang 17-19 subspesies. Spesies burung betina dewasa mempunyai berat purata 700 gram hingga 1.5 kilogram manakala burung jantan dewasa pula mempunyai berat 700 gram hingga 1 kilogram.
Burung Peregrine Falcon ini menjadikan burung kecil lain sebagai mangsa mereka. Burung ini juga banyak dipelihara dan dilatih untuk tujuan memburu, menghalau burung perosak dan pelbagai kegunaan lagi.
2. Helang Emas (321 kilometer/jam)
Burung helang bukan sahaja hebat terbang daripada segi ketinggian bahkan juga daripada segi kelajuan. Helang Emas merupakan spesies helang yang paling pantas. Ia banyak dijumpai di Hemisfera Utara.
Burung ini juga terkenal dalam bidang penangkapan mangsa. Ia bukan sahaja memiliki penglihatan mata yang sangat tajam bahkan juga memiliki kaki yang kuat sehingga mereka mampu untuk menyeret seekor kambing dewasa.
Kepantasan ini digunakan mereka untuk memburu mangsa yang bergerak dengan pantas seperti arnab, marmot dan tupai tanah. Ketika tidak dalam mod memburu, kelajuan tetap mereka adalah 48 kilometer/jam.
3. Burung Layang-Layang Leher Putih (168.9 kilometer/jam)
Burung ini banyak ditemui di Kawasan Asia, Eropah Barat dan juga di beberapa Kawasan di Great Britain, Sweden dan Norway. Walaupun mempunyai tubuh badan yang kecil, namun ia mempunyai kelajuan yang begitu luar biasa.
Burung ini sering menghabiskan masa mereka dengan berterbangan di udara berbanding berada di darat. Burung ini dapat terbang dengan sempurna di samping mengabaikan geseran udara terhadap dirinya. Burung yang mempunyai ekor berbentuk jarum ini mempunyai purata berat 120 gram bagi burung dewasa.
4. Eurasian Hobby (160.9 kilometer/jam)
Burung Eurasian Hobby merupakan salah satu spesies Falcon yang bersaiz kecil. Sebahagian besar burung ini mendiami kawasan di Eropah, Asia dan Afrika.
Burung ini merupakan salah satu spesies yang melakukan migrasi jarak jauh. Disebabkan mereka dapat beradaptasi dengan jarak perjalanan yang jauh, inilah yang mendorong burung ini dapat terbang dengan kelajuan yang tinggi. Mereka juga menggunakan kepantasan yang dimiliki untuk memburu mangsa seperti burung-burung kecil, serangga dan tikus.
5. Burung Frigat (152.8 kilometer/jam)
Burung Frigat atau dikenali sebagai Burung Simbang Besar ini mempunyai bentuk fizikal yang agak unik dan menarik. Burung ini mempunyai kantung besar yang berwarna merah pada dadanya. Kantung ini digunakan untuk menarik perhatian burung betina semasa musim mengawan dengan mengembangkan kantung tersebut. Burung betina pula mempunyai kantung yang berwarna putih dengan fungsi yang sama.
Ia dapat terbang dengan laju kerana memiliki nisbah berat badan dan lebar sayap yang sesuai. Mereka juga merupakan pemangsa yang hebat di kawasan perairan laut. Ikan kecil dan sotong adalah mangsa mereka.
Penulis
- Nik Mohammad Fitri Nik Azmi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.