Seorang pesakit di Thailand mengadu sakit telinga selama dua hari dan punca kesakitan itu akhirnya terjawab setelah dia pergi menemui doktor. Seekor cicak telah ditemui di dalam telinga pesakit tersebut.
Doktor yang merawat pesakit berkenaan iaitu Dr Varanya Nganthavee sangat terkejut dengan apa yang ditemui itu.
“Ia adalah kes terakhir saya pada hari tersebut. Saya keliru. Bagaimana cicak sebesar itu boleh memasuki lubang telinga?” coretnya di laman Facebook.
Cicak berkenaan berjaya dikeluarkan dengan menggunakan titisan anestetik.
Pesakit itu kemudiannya dibawa untuk mendapatkan rawatan selanjutnya oleh pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) pada Selasa lalu. Hal ini demikian kerana Dr Varanya turut khuatir sekiranya terdapat bahagian anggota lain haiwan tersebut tertinggal di dalam telinga pesakit itu.
“Doktor mengesahkan masih terdapat ekor cicak terbabit. Saya sangat gembira! Doktor itu turut memuji saya kerana melakukan tugas dengan baik,” ujarnya.
Difahamkan, ia merupakan sejenis cicak rumah yang digelar Jing Jok. Cicak jenis ini biasa ditemukan di Thailand.
Namun begitu, bagaimana ia boleh ‘sesat’ di dalam lubang telinga pesakit selama 48 jam masih membingungkan doktor hingga ke hari ini.