Menerokai Keunikan Negeri Cik Siti Wan Kembang Sambil Menaiki ‘The Jungle Train’

Perkhidmatan kereta api di negara kita sudah lama beroperasi dan ia masih kekal sebagai mod pengangkutan utama masyarakat di beberapa buah kawasan. Ini kerana, kereta api merupakan satu-satunya kemudahan yang murah serta efisen berbanding pengangkutan yang lain.

Kalau sebelum ini anda ke Kelantan dengan menaiki kapal terbang ataupun terpaksa menempuh kesesakan jalan raya, apa kata kali ini anda cuba cipta pengalaman baru dengan menaiki kereta api ‘sleeper train’. Bagi anda yang baru pertama kali ke Kelantan, selain berkongsi mengenai keistimewaan menaiki sleeper train ini, kami kongsikan beberapa buah tempat menarik di Kelantan yang wajib anda kunjungi.

Untuk ke Kelantan, anda perlu menaiki tren elektrik (ETS) dari stesen KL Sentral ke stesen Gemas, Negeri Sembilan sebelum meneruskan perjalanan menggunakan kereta api antara bandar ke stesen Gua Musang di Kelantan. Perjalananan yang mengambil masa selama lebih kurang 12 jam ini memerlukan anda untuk menaiki sleeper train atau juga dikenali sebagai The Jungle Train. Keunikan sleeper train ini adalah kerana ia dilengkapi dengan kemudahan tempat tidur yang membolehkan anda berehat dan menjanjikan pemandangan yang memuaskan.

Bukan itu sahaja, sleeper train ini juga akan membawa anda merentasi 4 negeri yang berbeza dalam tempoh masa 12 jam tersebut. Anda juga boleh menikmati pemandangan yang luar biasa sambil mengisi perut di kafe yang turut disediakan di atas kereta api ini.

Harga katil bawah yang bernombor genap adalah RM46 manakala harga katil atas yang bernombor ganjil adalah RM40.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pembelian boleh dibuat menerusi:

1. ETS: http://www.ktmb.com.my/ETS.html atau https://eticket.ktmb.com.my/eticket/

2. Kereta api antara bandar: http://www.ktmb.com.my/Intercity.html

Setelah tiba di stesen Gua Musang, anda boleh check in di Kesedar Travel & Tours untuk beberapa jam bagi merehatkan diri dan menyegarkan badan setelah semalaman berada di dalam kereta api. Kemudian, anda boleh terus check out untuk meneruskan destinasi yang seterusnya. Namun begitu, pihak Kesedar Travel & Tours kini sedang menawarkan beberapa pakej dengan harga yang menarik untuk anda.

Sebarang pertanyaan atau tempahan boleh dibuat menerusi:

1. Instagram: https://www.instagram.com/kesedar_hotel/?hl=en

2. Facebook: https://www.facebook.com/kesedarhotel/

3. WhatsApp: 09-9121229/09-9121491

Sementara itu, kami kongsikan kepada anda antara tempat-tempat menarik yang anda boleh kunjungi setelah tiba di wilayah Gua Musang:

1. Masjid Razaleigh

Keunikan masjid ini adalah kerana ia mengambil inspirasi dari Masjidil Haram, Makkah. Masjid Razaleigh yang bernilai lebih RM28 juta ini dijangka siap hujung tahun ini, sekali gus menjadi mercu tanda baharu di Gua Musang.

Alamat: Daerah Galas, 18300 Gua Musang, Kelantan

2. Tokong Swee Nyet, Kampung Pulai

Tokong Swee Nyet, Kampung Pulai merupakan sebuah tempat ibadat tertua di Malaysia yang kini sudah mencecah hampir 600 tahun. Bahan tinggalan seperti gambar lama, mangkuk sembahyang dan meriam purba yang berusia puluhan tahun juga masih terdapat di sini.

Alamat: Kampung Pulai, 18300 Gua Musang, Kelantan

3. Taman Etnobotani, Gua Musang

Bagi anda yang meminati alam semula jadi dan gemar melakukan aktiviti lasak, anda boleh berkunjung ke Taman Etnobotani, Gua Musang kerana anda akan berpeluang untuk merasai persekitaran yang tenang. Selain itu, beberapa aktiviti rekreasi lain juga turut ditawarkan seperti rock climbing, berkhemah, penganjuran aktiviti-aktiviti khas seperti hari keluarga, kursus-kursus dan sebagainya.

Alamat: Kesedar, Bandar Baru Gua Musang, 18300 Gua Musang, Kelantan.

4. Masjid Buluh

Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Masjid Buluh yang seperti namanya, merupakan masjid yang diperbuat daripada batang buluh yang tersergam indah dan unik. Hampir 90 peratus binaan masjid ini dibuat daripada buluh betong tempatan dan buluh hitam yang diimport dari Bandung, Indonesia.

Sumber: Wazari Wazir

Setelah selesai mengembara di Gua Musang, tiba masanya untuk anda menerokai pula keunikan Kota Bharu, Kelantan. Sebelum ke sana, anda perlu menaiki Shuttle Timuran atau lebih dikenali sebagai Ghost Train dari stesen Gua Musang ke stesen Wakaf Bharu, Kelantan.

Kenapa kereta api ini dipanggil Ghost Train? Adakah kerana ia berhantu? Sebenarnya, ia hanyalah sekadar gelaran apabila kereta api Shuttle Train atau Kelantan Shuttle yang berlepas dari stesen kereta api Tumpat pada jam 4:20 pagi tiba-tiba muncul di balik kabus tebal pagi di Kuala Gris seolah-olah seperti kereta api hantu. Ia tiba-tiba muncul membelah kabus pagi yang tebal.

Untuk pengetahuan, kebanyakan penduduk tempatan terutamanya pelajar-pelajar sekolah di kawasan Kuala Gris sangat bergantung kepada perkhidmatan kereta api ini untuk ke sekolah. Ini kerana, jalan darat untuk ke sekolah mereka agak jauh dan gelap sunyi terutamanya awal pagi.

Kini kami kongsikan pula antara tempat-tempat menarik yang anda boleh kunjungi setelah tiba di Kota Bharu, Kelantan.

1. Pasar Besar Siti Khadijah

Keunikan dan keistimewaan Pasar Siti Khadijah ini berbanding dengan pasar yang lain terletak di sebalik namanya. Bagi yang tidak tahu, majoriti peniaga di sini terdiri daripada golongan wanita yang rata-ratanya sangat meminati bidang perniagaan. Nama Siti Khadijah itu sendiri diambil bersempena nama isteri Nabi Muhammad SAW yang juga merupakan seorang peniaga wanita yang berjaya.

Pasar Siti Khadijah ini mempunyai 3 tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Kuih tradisional Kelantan seperti tahi itik, akok, jala mas, dan pelbagai lagi kuih lain juga turut dijual di sini.

Tingkat 2 pula diperuntukkan untuk makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Di sini juga terdapat ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam yang merupakan antara makanan tersohor bagi rakyat negeri Kelantan. Tingkat 3 pula untuk barangan seperti baju batik, kain pelikat, telekung dan sebagainya.

Alamat: Jalan Buluh Kubu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

2. Galeri Wayang Kulit Pak Dain

Seterusnya, Galeri Wayang Kulit Pak Dain yang terletak di Kampung Morak juga merupakan antara tempat yang anda wajib kunjungi sekiranya tiba di Kelantan. Selain pameran pelbagai boneka, galeri ini juga mengadakan pertunjukan wayang kulit dan bengkel membuat boneka. Di sini juga terdapat kedai cenderahati yang menjual boneka tradisional yang dihasilkan oleh Pak Dain sendiri.

Alamat: Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan, Simpang 3 Morak, Kampung Paloh, Wakaf Bharu, 16040 Tumpat, Kelantan.

3. RS Serunding

Salah satu tempat yang turut menjadi tarikan di sini ialah RS Serunding. Kelantan adalah sebuah negeri yang sangat sinonim dengan serunding. Anda boleh membelinya untuk dijadikan buah tangan. Di sini, terdapat serunding daging import, daging tempatan, ayam, dan ikan. Yang menariknya, anda boleh rasa sendiri serunding sebelum membelinya. Yang paling penting, harganya lebih murah berbanding harga pasaran.

Selain serunding, anda juga boleh dapatkan budu, kerepek pisang, dodol dan banyak lagi lagi di sini.

Alamat: Jalan Kampung Laut, Taman Warisan Jaya, 16040 Tumpat, Kelantan

4. Ayu Fashion House

Anda juga wajib berkunjung ke Ayu Fashion House yang merupakan sebuah kilang batik yang memfokuskan kepada batik blok atau juga dipanggil sebagai batik cop. Di sini, mereka mengekalkan kualiti batik dengan cara menggunakan blok yang unik kemudian akan diwarnakan dengan tangan dan mengekalkan teknik tradisional yang sudah tidak digunakan lagi oleh mana-mana tukang batik.

Alamat: Kampung Talak, 16210 Tumpat, Kelantan

Ternyata negeri pantai timur ini memiliki banyak tarikannya yang tersendiri. Selain dapat merasai pengalaman menaiki kereta api, anda juga dapat lebih mengenali dan menghargai keistimewaan yang terdapat di bumi Kelantan ini.

Semoga perkongsian ini menjadi panduan dan akan memudahkan anda untuk merancang percutian ke negeri Cik Siti Wan Kembang pada masa akan datang.

Untuk baca artikel lain berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca