Di Malaysia, kita mempunyai pelbagai gua yang menarik untuk diterokai dan dibuka kepada orang ramai. Antara gua yang boleh diterokai adalah Gua Tempurung (Perak), Gua Kela (Perlis), Gua Nasib Bagus (Taman Negara Mulu), Gua Niah (Miri) dan banyak lagi.
Sesetengah gua tersebut boleh dimasuki secara percuma dan ada yang mengenakan bayaran masuk. Bagi peminat dan peneroka gua, setiap gua menjanjikan keunikan dan cabaran yang tersendiri. Malah, struktur dalamannya juga berbeza.
Kali ini, kami kongsikan sedikit fakta menarik mengenai Gua Krubera yang terletak di Abkhazia, Georgia. Kawasan ini berada di bawah pengaruh dan penguasaan Russia. Bagi yang tidak tahu, Gua Krubera atau Gua Voronya merupakan gua paling dalam di dunia yang pernah dijejaki manusia.
Nama gua ini diambil sempena dengan nama seorang ahli Geografi Russia yang bernama Alexander Kruber. Sebagai alternatif, gua ini juga dikenali sebagai Crows Cave. Perkataan “crows” merupakan perkataan daripada bahasa Inggeris yang bermaksud burung gagak dan nama ini diberikan kerana ahli speleologis pada tahun 1980-an yang menemui kelibat burung gagak di ruang masuk gua ini.
Daripada ekspedisi penerokaan yang dilakukan, kedalaman gua ini dikatakan mencecah 2197 meter, menjadikannya satu-satu gua yang mencapai kedalaman melebihi 2000 meter. Sebagai perbandingan, Gunung Tahan yang merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia mempunyai ketinggian 2187 meter.
Pada tahun 1960, ahli pengkaji berjaya meneroka dan mengukur kedalaman gua ini sehingga kedalaman 310 meter. Pada tahun 1980 pula, explorasi gua ini dilakukan dengan lebih agresif di mana misi ini diketuai oleh Alexander Klimchuk. Menjelang tahun 1987, bahagian gua ini telah diterokai dan diukur sehingga kedalaman 340 meter.
Usaha ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Menjelang tahun 2010, gua ini berjaya diterokai dan diukur sehingga kedalaman 1710 meter. Pada tahun 2012, satu pasukan penyelam gua telah membina kem sementara di dalam gua ini dan mendapati rekod terbaru kedalaman gua ini adalah 2197 meter. Misi ini diketuai oleh Gennadiy Samokhin.
Tidak seperti kawasan pergunungan yang lain di mana ketinggian sesebuah gunung boleh diukur menggunakan satelit dan pelbagai teknologi terkini. Sebaliknya, ahli geologi dan speleologis percaya mungkin terdapat ratusan atau ribuan lagi gua yang belum ditemui dan diterokai sepenuhnya. Oleh itu, kemungkinan wujudnya gua yang lebih dalam daripada Gua Krubera.
Sebagai perbandingan, kedalaman Gua Krubera adalah 2197 meter. Walau bagaimanapun, kajian masih dilakukan untuk mengesahkan ukuran ini. Selain itu, terdapat beberapa lagi bahagian takungan air (dikenali sebagai sump) dalam gua ini untuk diterokai yang mungkin membawa penemuan ke bahagian gua yang lebih dalam.