“Mendoakanmu Adalah Caraku Untuk Mencintaimu.” – Bunga Citra Lestari

Pemergian pelakon Ashraf Sinclair pada usia 40 tahun pada Februari lalu seakan-akan telah meragut sama kebahagiaan yang pernah dinikmati Bunga Citra Lestari dan anaknya Noah Sinclair bersama suami dan ayah tercinta.

Setelah lebih 100 hari pemergian Ashraf, penyanyi lagu Cinta Sejati ini berkongsi sebuah video khas buat arwah suaminya, di YouTube yang berjudul BCL ‘Dear Love…’.

Dalam video yang dimuat naik itu, Bunga telah mengimbau kembali kenangan meraikan Aidilfitri pada tahun sebelum ini.

Menurut Bunga, Aidilfitri pada tahun ini cukup berbeza buat dirinya apatah lagi tanpa Ashraf di sisi dan tidak pernah satu hari pun dirinya tidak merindui suaminya itu.

Selain anak mereka Noah Sinclair, turut dilihat dalam video itu adalah ibu bapanya Emmy Syarif dan Muchlis Rusli serta ibu mentuanya, Khadijah Abdul Rahman dan beberapa orang saudara terdekat.

“Kita duduk bersama berkongsi kasih sayang, berkonsgi gelak tawa. Ummi (Ibu Ashraf) sudah dua bulan berada di Indonesia jauh dari keluarga di Malaysia menemani aku dan Noah.” katanya.

Bunga juga turut menzahirkan rasa syukur kerana masih diberikan kesempatan untuk meraikan Aidilfitri bersama insan tersayang ketika orang ramai kini sedang berdepan dengan pelbagai dugaan dan ujian.

“Di saat ini, kita semakin menyedari bahawa di luar segala cobaan yang hadir dalam hidup kita, kami bersyukur memiliki sesama sendiri.

“Seperti biasa, aku menyediakan masakan untuk lebaran kali ini seperti saat kamu masih ada. Teruskan tradisi untuk menjadikan ia mudah untuk Noah menjalani normal baharu,” kata Bunga.

Pada minit-minit terakhir video tersebut, sesiapa sahaja yang menontonnya pasti akan menitiskan air mata.

Dear love, meskipun ragamu telah tiada di sini, tapi jiwamu akan selalu ada bersama kami. Dan mendoakanmu, adalah caraku untuk mencintaimu.

“Maaf lahir (zahir) batin, ya sayang. I miss you. Each and everyday.” katanya di dalam video tersebut.

Bunga turut berkongsi pautan video terbabit menerusi Instagram Story dan berkata dia baru ada kekuatan untuk berkongsi mengenai perjalanan hidupnya kembali.

“Ini bukan perjalanan yang mudah. Bahkan, aku masih tidak tahu berada di mana. Kadang bergerak maju dua langkah, lalu mundur satu langkah.

“Tapi aku cuba terus berjalan. Kerana ini adalah sebuah proses panjang yang harus dijalani. Di saat ini, aku memberanikan diri untuk sedikit berbagi mengenai hidupku, perjalananku,” ujar Bunga

Seluruh team Lejen Digital mendoakan agar Bunga dan seluruh ahli keluarga Allahyarham terus kuat.

Anda boleh menonton video penuh di bawah.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan Bunga Citra Lestari, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca