Cabul Dan Cuba Liwat Pelajar-Pelajarnya, Seorang Ustaz Akhirnya Diberkas

Seorang ketua tenaga pengajar sebuah madrasah di Bemban, Jasin diberkas selepas didakwa mencabul dan cuba meliwat beberapa pelajarnya sejak setahun lalu.

Ustaz berusia 28 tahun tersebut telah melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah asrama madrasah persendirian yang mempunyai 31 pelajar tahfiz lelaki berumur antara tujuh hingga 17 tahun.

Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka berkata tindakan keji itu terbongkar selepas ibu kepada salah seorang pelajar tampil membuat laporan polis pada Khamis lalu.

Mohd Nor Yhazid berkata lelaki itu merupakan ketua tenaga pengajar madrasah tersebut. Dia ditugaskan secara bergilir-gilir dengan guru lain untuk menjaga asrama penginapan pelajar sebanyak dua kali seminggu.

Berdasarkan keterangan pengadu, anak lelakinya mendakwa ustaz itu cuba melakukan seks luar tabii (liwat) pada kira-kira jam 10 pagi 23 September lalu. Walau bagaimanapun, pelajar berusia 14 tahun tersebut sempat melarikan diri.

Mohd Nor Yhazid berkata, “Anak pengadu turut memberitahu terdapat juga pelajar lain yang diperlakukan sedemikian oleh ustaz sama dengan cara meminta mangsa mengurutnya sebelum suspek pula akan mengurut mangsa hingga ke bahagian kemaluan mangsa.”

Hasil siasatan mendapati apabila tiba gilirannya untuk bertugas, ustaz tersebut akan menggunakan modus operandi dengan memanggil mangsa kononnya meminta untuk mengurut kaki, tangan dan kepala.

Suspek juga menggunakan taktik dengan cara lelaki itu akan menolak badan mangsa untuk baring di sebelahnya apabila mangsa memberi alasan kepenatan sebelum dia terus memeluk badan mereka.

Ustaz tersebut juga pernah cuba membuka seluar mangsa dan cuba memasukkan kemaluannya ke bahagian dubur mangsa namun berjaya ditepis sebelum mangsa melarikan diri.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca