Kelly’s Castle, Menara Condong Teluk Intan, The Lost World of Tambun dan Bukit Merah Laketown adalah tempat-tempat yang terkenal di negeri Perak. Namun, terdapat banyak lagi tempat menarik yang sesuai untuk dilawati bersama keluarga atau sahabat.
7 Tempat Menarik Di Perak:
1.Bukit Larut @ Maxwell Hill, Taiping

Ini antara tempat yang sentiasa penuh semasa cuti sekolah. Tingginya mencecah 1036m dari paras laut. Di sinilah terletaknya taman dan rumah kolonial. Mereka yang ke sini akan mengambil peluang mendaki ke puncaknya sambil menghirup udara sejuk dan segar.
Harga Tiket: RM6 (dewasa), RM3 (Kanak-kanak)
2. Gunung Lang Recreational Park, Ipoh

Gunung Lang ialah salah satu daripada banyak gunung batu kapur yang terletak di Lembah Kinta, Perak. Kawasan batu kapur ini diteroka pada tahun 1880 oleh seorang pelombong timah Melayu.
Gunung Lang berukuran 111.93 hektar.Taman rekreasi ini dibahagikan kepada dua bahagian. Landskap taman ini sangat cantik, ditambah pula dengan kecantikan gunung batu kapur semulajadinya yang menjadi latarnya.
Ia mempunyai air terjun buatan, menara tinjau, taman permainan kanak-kanak, tapak perkhemahan, zoo mini, surau dan tandas.
Harga Tiket Menaiki Bot: RM3 (dewasa), RM1.50 (kanak-kanak 3 – 12 tahun, warga emas di atas 55 tahun)
3. Hutan Simpan Belum, Gerik

Jika anda sukakan aktiviti lasak dan mencabar, inilah tempatnya Hutan simpan ini sesuai untuk jungle tracking, hiking, berakit, speed-boating dan jika mendaki kawasan tinggi pengunjung akan berpeluang melihat bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia.
Di sini juga pengunjung boleh menemui serangga hutan yang pelik dan menarik selain melawat perkampungan Orang Asli. Harus diingatkan agar mendapatkan permit untuk sebarang aktiviti hutan sekurangnya 2 minggu sebelum tarikh percutian.
4. Zoo Dan Night Safari, Taiping

Berlainan dengan zoo di negeri lain, pengunjung diberi peluang melihat lebih 1,300 ekor haiwan dari 180 spesies bukan sahaja pada siang hari malah berlanjutan hingga waktu malam.
Bagi yang ingin merasai pengalaman baru, boleh datang seawal pukul 8 malam dan melihat suasana kehidupan haiwan ini dalam persekitaran cahaya lampu seolah-olah diterangi oleh cahaya bulan. Bagaimanapun, pengunjung dilarang membawa lampu suluh dan mengambil gambar dengan flash kerana ditakuti akan mengganggu haiwan-haiwan ini.
5. Movie Animation Park Studio (MAPS), Ipoh

MAPS menawarkan 40 tarikan dengan 6 zon tema sesuai untuk para pengujung. Enam zon tema tersebut ialah Animation Square, Blast Off Zone, Dream Zone, Fantasy Forest Zone, Lakeside Zone, dan Live Action Zone.
Antara animasi yang terlibat ialah Boboiboy, the Smurf, dan Mr Peabody & Sherman. Semua zon tema ini memberikan pengunjung pengalaman berbeza, masuk ke dunia fantasi yang amat menyeronokkan terutama kepada kanak-kanak. Terdapat banyak persembahan dan permainan yang tidak akan membosankan.
6. Qing Xin Ling Leisure and Cultural Village, Ipoh

Berada di sini membuatkan diri seolah-olah berada di sebuah perkampungan di China. Tasik dan ditengahnya terdapat bukit batu kapur serta gua yang mengelilinginya persis pemandangan dalam lukisan-lukisan klasik China.
Perkampungan budaya ini menyediakan pameran yang disampaikan dalam bentuk seni dinding dan pemasangan replika di sekitarnya. Persekitaran yang indah menjadikan kawasan ini juga sesuai untuk tujuan perkelahan. Aktiviti berbasikal dan menaiki beca juga disediakan.
7. Kuala Sepetang
Sesuai bagi mereka yang inginkan percutian keluarga secara santai. Merupakan sebuah perkampungan nelayan, pengunjung boleh river cruise sambil melihat kawanan kelip-kelip di sepanjang sungai dan menikmati mi udang terbaik di Perak.
Jika sukakan sejarah, bolehlah melawat stesen kereta api pertama di Tanah Melayu iaitu Port Weld. Meskipun landasannya sudah tiada lagi dan hanya tinggal pondok jual tiket serta signboard, ia kekal menjadi kenangan bersejarah.
Anda suka tempat menarik di Perak yang dikongsikan oleh kami? Semoga ia menjadi panduan untuk anda di masa hadapan. Manalah tahu selepas membaca artikel ini anda berasa tertarik pula untuk masukkan Perak sebagai destinasi percutian anda.
Sumber: Tourism Perak Malaysia