“Menangis Saya Gembira” – Ustaz Ebit Lew, Seramai 157 Penduduk Bajau Laut Masuk Islam Secara Sukarela

Rata-rata masyarakat Malaysia pasti sudah mengenali seorang pendakwah dan sukarelawan terkenal, Ustaz Ebit Lew. Beliau sering dilihat melakukan aktiviti amal kebajikan dan membantu rakyat yang memerlukan.

Baru-baru ini tular di media sosial di mana beliau berkongsi satu ciapan yang menunjukkan beliau berjaya membawa satu kampung dari suku Bajau Laut di Sabah untuk memeluk Islam.

Menerusi perkongsian tersebut, beliau turut menyatakan bahawa seramai 157 orang penduduk tersebut tampil secara sukarela untuk memeluk agama itu.

“Seramai 157 orang mengucap syahadah. Ya Allah menangis saya hari ini gembira. Satu kampung memeluk Islam petang ini. Semuanya dengan rela tanpa paksaan memeluk Islam.

Daripada suku Bajau Laut mereka tinggal di dalam bot atau pondok kecil atas laut, menangis saya gembira,” kongsi Ustaz Ebit Lew.

Pada mulanya tujuan beliau berkunjung ke sana adalah untuk menyalurkan bantuan kerana difahamkan kesemua penduduk di perkampungan tersebut berada dalam kesusahan dan terputus bekalan makanan.

Namun, semasa beliau memberi bantuan, ramai di antara mereka yang bertanya tentang apa itu Tuhan dan siapakah Tuhan.

“Tiba-tiba ramai tanya saya siapa Tuhan. Tuhan tu apa. Saya terus sebak. Saya dengan penterjemah tanya pernah tak sesiapa terangkan tentang agama. Mereka jawab tiada tiada dan kami tidak tahu. Tolong bagitahu kami.

“Saya terus sebak jadi saya kumpulkan semua di sekeliling bot tadi dan memberi perkongsian. Mereka terus percaya. Saya ajar mereka syahadah. Inilah hari paling sedih dan juga gembira dalam hidup saya,” nyata beliau di ciapan tersebut.

Dalam pada itu, Ustaz Ebit Lew turut memberi jaminan bahawa akan terus membantu dalam menyalurkan bantuan dalam bentuk makanan kepada seluruh penduduk di kampung tersebut.

Menerusi ciapannya itu, beliau juga merancang untuk membina sebuah sekolah serta mencari guru agama bagi mendidik penduduk tersebut.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan dengan Ustaz Ebit Lew, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca