Menang Judi RM2,267,169, Sami Di Thailand Ini Dakwa Duit Kemenangan Milik Malaikat

Seorang sami di Thailand berjaya memenangi hadiah loteri sebanyak 18 juta baht (RM2,267,169) dan dia kini mula bersedekah dengan wang tersebut untuk tujuan kebaikan dan membantu penduduk tempatan, kuil-kuil lain dan pelbagai organisasi.

Memetik laporan The Thaiger, sami di Nakhon Phanom itu berkata bahawa dia selalunya tidak membeli tiket loteri kerana seorang sami tidak seharusnya menyertai apa-apa aktiviti perjudian.

Walau bagaimanapun, dia membeli tiket loteri baru-baru ini kerana mahu membantu peniaga tempatan yang bergelut dengan masalah kewangan ketika pandemik.

Sami yang berusia 47 tahun itu turut mendakwa wang loteri yang dia menangi adalah milik malaikat dan dia tidak mahu menyimpannya untuk diri sendiri.

Atas sebab itu, dia memutuskan untuk berkongsi wang kemenangan tersebut dengan individu yang memerlukan kerana mahu menyebarkan tuah dan untung.

Menurut laporan, terdapat lebih 1,000 orang penduduk mengunjungi kuil sami tersebut untuk mendapatkan wang sebanyak 200 baht (RM25) setiap seorang.

Disebabkan ramai orang yang beratur untuk mendapatkan wang faripada sami berkenaan, pihak polis juga sedang memantau barisan yang panjang itu untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Selain memberikan wang kepada masyarakat setempat, sami itu juga menawarkan empat juta baht (RM503,815) kepada pengurusan kuilnya, sekolah, organisasi negeri dan swasta.

Sami tersebut turut merancang untuk memberi wang tersebut kepada badan amal dan kuil-kuil yang memerlukan.

Kisah lelaki ini yang memenangi loteri bagaimanapun kurang disenangi oleh sesetengah sami. Ini kerana seorang sami berkata bahawa ia adalah salah dan tidak wajar seorang sami membeli tiket judi kerana ia melanggar etika dan peraturan sami Buddha.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca