Menakutkan Tapi Benar, Jasad Pendaki Di Pergunungan Everest Dijadikan Penunjuk Arah

Terletak di sempadan antara Tibet dan Nepal, gunung paling tinggi di dunia ini seakan-akan ‘menawarkan’ pelbagai cara untuk seseorang itu menemui ajalnya seperti terjatuh dari tebing tinggi, kekurangan oksigen dan dihempap batu-batu besar.

Meskipun risikonya tinggi, masih ramai pendaki-pendaki yang datang dari serata dunia untuk menawan puncak ini. Malah, ada juga yang menjadikan pendakian di Gunung Everest sebagai salah satu perkara wajib dilakukan semasa hidup.

Menurut rekod, dianggarkan terdapat lebih 200 manusia yang hilang nyawa mereka saat mencuba untuk mendaki Gunung Everest. Oleh sebab yang demikian, tidak hairanlah sekiranya para pendaki menjumpai mayat individu lain yang tewas dalam pendakian mereka.

Kebanyakan jasad pendaki-pendaki yang tewas ini masih elok keadaannya ekoran daripada cuaca sejuk melampau di pergunungan itu. Hal ini telah menyebabkan sesetengah daripada mayat terbabit diberikan nama samaran dan dijadikan penanda arah untuk individu lain yang cuba untuk menawan puncak ini.

Berikut merupakan tiga ‘penanda arah’ yang agak dikenali di Gunung Everest.

1. Green Boots

Green Boots merupakan nama samaran yang diberikan kepada jasad seorang pendaki warga India yang dipercayai tewas pada tahun 1996.

Green Boots atau identiti sebenarnya Tsewang Paljor terletak di sebuah gua yang akan dilalui semua pendaki yang dalam perjalanan menuju puncak Everest.

Menjadi penanda arah yang popular kerana berhampiran puncak, Green Boots yang dipercayai telah terpisah daripada kumpulannya telah berteduh di dalam gua sebelum akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Green Boots memperoleh namanya daripada kasut but berwarna hijau yang masih berada di kakinya.

2. David Sharp

Kisah seorang pendaki warga Britain bernama David Sharp yang turut mengikut jejak langkah Green Boots pada tahun 2006 merupakan antara kes yang agak kontroversi kerana detik-detik akhir lelaki itu.

Difahamkan, David telah berteduh di gua sama yang menjadi tempat persemadian terakhir Green Boots untuk berehat. Walau bagaimanapun, lelaki itu akhirnya mendapati dirinya membeku di lokasi itu namun, masih hidup.

Lebih daripada 40 pendaki lain dikatakan telah melepasi David namun, tiada seorang pun yang membantu lelaki tersebut yang akhirnya terkorban dek kerana cuaca sejuk.

Menurut laporan, para pendaki lain mungkin tidak menyedari bahawa David masih hidup kerana posisinya yang statik.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa individu yang cuba untuk membantu David apabila mereka menyedari lelaki itu masih hidup namun, usaha tersebut nyata gagal.

3. Francys Arsentiev

Merupakan wanita pertama Amerika Syarikat yang berjaya menawan puncak Everest tanpa bantuan tangki oksigen, Francys Arsentiev walau bagaimanapun, tewas semasa mendaki turun.

Digelar Sleeping Beauty of Mount Everest, Francys disedari hilang oleh suaminya yang juga merupakan seorang pendaki saat mereka sama-sama mendaki turun dari puncak. Meskipun sedar akan risiko yang bakal dihadapi, lelaki berkenaan sanggup berpatah balik demi mencari pasangannya.

Ketika berpatah balik, suami Francys telah terjumpa dengan kumpulan pendaki dari Uzbekistan yang mendakwa telah terserempak dengan isteri lelaki berkenaan. Walau bagaimanapun, pasukan itu terpaksa meninggalkan Francys ekoran bekalan oksigen mereka semakin berkurangan.

Pada keesokan harinya, dua orang pendaki lain telah berjaya menemui Francys yang hanya tinggal nyawa-nyawa ikan terbaring di atas salji sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir di pergunungan itu.

Suami wanita itu pula hilang tanpa dikesan namun, berjaya dijumpai setahun kemudian di bahagian bawah gunung setelah dipercayai terjatuh dari tebing tinggi semasa berusaha mencari Francys.

Untuk membaca artikel lain berkaitan pendakian gunung, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca