Mempunyai Unsur Ketuhanan, Ini Maksud Sebenar Di Sebalik Lirik Lagu Suci Dalam Debu

Lagu bertajuk Suci Dalam Debu yang dinyanyikan oleh Saleem Iklim pada tahun 1990 mempunyai maksud yang mendalam dan berunsurkan ketuhanan. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pencipta lirik lagu ini yakni S. Amin Shahab atau nama sebenarnya Syed Mohd. Amin Syed Hashim merupakan seorang pengikut aliran tasawuf atau Sufi.

Berikut merupakan lirik lagu Suci Dalam Debu dan makna di sebalik rangkap kata tersebut.

“Engkau bagai air yang jernih
Di dalam bekas yang berdebu
Zahirnya kotoran itu terlihat
Kesucian terlinding jua.”

Dalam rangkap pertama Suci Dalam Debu, penggunaan kata ‘engkau’ merujuk kepada roh. Manakala bekas yang berdebu pula adalah jasad manusia yang bersal dari tanah dan akan kembali semula ke tanah.

Lirik lagu ini juga mengisahkan bahawa betapa kotornya diri seseorang manusia itu jika dapat dilihat melalui pandangan nyata. Dek kerana kehadiran nafsu, kesucian roh sudah tertutup.

“Cinta bukan hanya di mata
Cinta hadir di dalam jiwa
Biarlah salah di mata mereka
Biar perbezaan terlihat antara kita.”

Cinta tidak hanya terlihat pada syariat atau ibadah solat seseorang. Selain itu, cinta hakiki lahir dari sucinya jiwa yang bersih dengan mengungkapkan kalimah suci Al-Quran selain sentiasa berzikir kepada Allah S.W.T.

Selain itu, lagu ini juga menceritakan bagaimana seorang hamba Allah yang sejati dipandang serong oleh masyarakat sekililing. Namun begitu, hamba Tuhan ini tidak langsung mempedulikan orang lain dan hanya menyatakan bahawa perbezaan antara dirinya dan hamba dunia akan terlihat suatu hari nanti.

“Kuharapkan kau kan terima
Walau dipandang hina
Namun hakikat cinta kita
Kita yang rasa.”

Maksud rangkap ini ialah penulis menyatakan harapan tunggalnya yakni supaya Alah menerimanya sebagai seorang hamba yang taat.

Selain itu, ia juga menerangkan bagaimana penulis dipandang hina oleh masyarakat namun dia tetap melakukan segala suruhan Tuhan kerana Allah adalah cinta sejatinya. Tambahnya, rahmat Tuhan itu hanya dapat dirasai sekiranya seseorang manusia itu berpegang teguh kepada Al-Quran dan Hadis.

“Suatu hari nanti
Pastikan bercahaya
Pintu akan terbuka
Kita langkah bersama.”

Bait dan juga lirik lagu ini juga menerangkan bahawa disaat waktu penulis tiba, dia yakin bahawa semuanya akan menjadi nyata dan cahaya terang bakal menemaninya.

“Di situ kita lihat
Bersinarlah hakikat
Debu jadi permata
Hina jadi mulia.”

Rangkap ini pula menceritakan bahawa segala pertimbangan baik dan buruk selama di dunia akan dipertontonkan di akhirat kelak. Meskipun seseorang itu dipandang bagaikan debu hina semasa hidupnya, di akhirat mereka diibaratkan sebagai permata yang mulia di sisi Allah.

“Bukan khayalan yang aku berikan
Tapi keyakinan yang nyata
Kerana cinta lautan berapi
Pasti akan kurenang jua.”

Penulis menceritakan bahawa segala yang diceritakannya adalah perkara yang nyata dan bukanlah khayalan. Selain itu, dia turut mengingatkan bahawa manusia akan kembali semula kepada Allah apabila sudah meninggal dunia seperti mana mereka mula-mula dilahirkan di dunia.

Penulis juga menyatakan dia sanggup meredah lautan api semata-mata mahu mendalami segala ilmu demi cintanya kepada Allah.

Kesimpulannya, setiap bait dan lirik lagu sudah pasti mempunyai makna yang tersirat. Bagi sesiapa yang mamahami maksud lagi ini, sudah tentunya ia akan menjadi peringatan kepada semua manusia bahawa dunia ini adalah sementara dan akhirat adalah kehidupan yang hakiki.

Penulis

• Siti Aishah Binti Kamaruzaman adalah pelajar Fakulti, Filem, Teater dan Animasi.

• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar alah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca