Memintas Paris Dan Hong Kong, Tel Aviv Dinamakan Bandar Raya Paling Mahal Untuk Didiami

Ketika kos sara hidup makin meninggi di seluruh dunia, Tel Aviv, sebuah bandar raya di Israel kini dinamakan sebagai bandar raya paling mahal di dunia untuk didiami.

Buat kali pertamanya kota ini muncul sebagai bandar raya paling mahal untuk didiami dalam hasil tinjauan Economist Intelligence Unit (EIU).

Berbanding tahun lalu, bandar raya ini telah menaiki lima anak tangga dalam carta, memintas Zurich, Paris dan Hong Kong yang berkongsi tempat pertama pada tahun lalu. Kenaikan bandar raya ini sekali gus telah menempatkan Paris dan Singapura di tempat kedua untuk tahun ini.

Tel Aviv memintas Zurich, Paris dan Hong Kong yang memegang tempat pertama pada tahun lepas. Gambar hiasan: OSU

Selain faktor kenaikan harga pengangkutan dan barangan runcit, Tel Aviv berada di kedudukannya sekarang juga adalah disebabkan oleh kekuatan mata wang negaranya iaitu shekel berbanding dolar.

Menurut EIU, Tel Aviv merupakan bandar raya kedua termahal dalam penjualan alkohol dan pengangkutan, kelima untuk barangan penjagaan diri, dan ditempat keenam untuk rekreasi.

Dalam banyak-banyak kategori tersebut, pengangkutan telah mencatat kenaikan harga yang paling tinggi, dengan kos seliter petrol naik sebanyak 21 peratus secara purata.

Data bagi tahun ini diambil dan dikumpul pada Ogos dan September lalu, iaitu ketika mana peningkatan harga barang dan komoditi yang semakin meninggi lantas menyebabkan peningkatan purata harga sebanyak 3.5 peratus dalam mata wang tempatan. Hal ini direkodkan sebagai kadar inflasi terpantas dalam tempoh lima tahun lalu.

Tel Aviv mencatat kenaikan kos seliter petrol yang tinggi iaitu sebanyak 21 peratus secara purata.

Upasana Dutt, Ketua Sara Hidup Seluruh Dunia EIU, berkata sekatan sosial akibat COVID-19 seperti sekatan perjalanan telah mengganggu bekalan barangan. Ini kemudiannya membawa kepada kekurangan (bekalan) lantas menyebabkan harga yang lebih tinggi untuk bekalan yang ada.

Untuk pengetahuan anda, pada hujung spektrum yang lagi satu, gelaran bandar raya yang paling murah untuk didiami pula masih dipegang oleh Damsyik, iaitu ibu kota Syria.

Untuk baca artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca