Memandu Tanpa Lesen, Remaja 15 Tahun Kemalangan Terlanggar Kereta Polis

Seorang remaja berusia 15 tahun yang memandu tanpa lesen telah terlibat dalam satu kemalangan apabila kereta yang dipandunya berlanggar dengan kereta polis. Hal itu berlaku setelah pemandu muda tersebut bertindak melarikan diri apabila diarahkan untuk berhenti oleh polis peronda.

Remaja tersebut bersama dengan tiga orang penumpang yang semuanya berumur dalam lingkungan 15 hingga 19 tahun, telah dikesan oleh polis, memandu dalam keadaan mencurigakan. Mereka kemudiannya ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

Polis mengambil masa sekitar 30 minit mengekori sebuah kenderaan dipandu seorang remaja yang melarikan diri daripada diperiksa anggota peronda polis di MRR2, Hulu Klang. Sumber: Sinar Harian

Menurut Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, keempat-empat mereka dikesan menaiki kereta jenis Naza Citra sekitar jam 5.35 petang semalam.

“Semasa anggota MPV mengarahkan mereka untuk berhenti dengan memberikan amaran awal, remaja terbabit terus melarikan diri dan memecut kenderaan mereka.

“Dalam masa 30 minit, berlaku adegan pihak polis mengejar remaja terbabit melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sehingga ke arah Seksyen 10, Wangsa Maju, malah mereka juga turut melanggar kereta jenis Proton Preve, sebelum dapat ditahan untuk siasatan lanjut,” lapor beliau.

Remaja 15 tahun itu melanggar kereta polis jenis Proton Preve. *gambar hiasan

Beliau berkata siasatan awal mendapati remaja-remaja dalam kereta tersebut tidak mempunyai rekod jenayah. Kereta yang dinaiki mereka juga tidak mempunyai laporan curi. Hasil saringan awal air kencing juga mendapati pemandu kereta bebas daripada sebarang penggunaan dadah.

Mereka sebenarnya panik apabila diarahkan untuk berhenti oleh pegawai bertugas kerana tidak mempunyai lesen. Disebabkan itu mereka bertindak untuk memecut melarikan diri.

“Sehubungan dengan itu saya menasihatkan orang ramai untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain dan orang ramai semasa ditahan oleh pihak polis untuk pemeriksaan lanjut bagi mengelak berlakunya situasi lebih buruk,” katanya.

Kes ini disiasat di bawah Kaedah 10, Pengangkutan Jalan beserta dua saman dikeluarkan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (tiada lesen memandu/tidak dilindungi insuran) dan Seksyen 55 (enggan memberhentikan kenderaan yang dipandu atau ditunggang) akta sama.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:
Sinar Harian, Berita Harian

Artikel Lain Untuk Di Baca