Melangkah Ke Universiti, Ini 5 Perkara Penting Anda Perlu Pastikan Sebelum Memilih Jurusan

Memilih jurusan merupakan perkara yang sukar dilakukan selepas tamatnya pengajian di tahap Sijil Pelajaran Malaysian (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Hal ini kerana, terlalu banyak jurusan yang ditawarkan oleh universiti di Malaysia. Sebelum membuat keputusan, di sini kami sediakan lima perkara penting yang anda perlu pastikan sebelum memilih:

1. Pilih jurusan yang memang diminati.

Sumber: Chang Duong

Pentingnya untuk anda memilih jurusan yang anda minati untuk elakkan diri anda daripada berasa tertekan dan tidak fokus sewaktu menuntut pelajaran di universiti. Perlu ditekankan di sini, memilih jurusan mengikut kemahuan rakan dan ibubapa boleh mendatangkan kesusahan kepada anda pada masa hadapan jika anda tidak mampu membawa subjek tersebut.

Kehidupan sewaktu sekolah dan universiti sangat berbeza. Tamatnya SPM dan STPM adalah tanda anda sudah menuju ke alam dewasa. Maka, ini peluang untuk anda membuat keputusan sendiri dengan memilih jurusan yang betul-betul anda minati.

Sudah ada banyak kes di mana pelajar universiti tidak sambung belajar kerana tidak minat dan berhenti separuh jalan. Bayangkan anda telah menghabiskan duit perjalanan ke universiti, duit kolej dan duit yuran dan ia berakhir dengan anda menarik diri. Perkara ini bukan sahaja merugikan duit, malah merugikan masa anda.

2. Pastikan kos pembelajaran.

Masuk ke alam universiti bukanlah perkara yang mudah dan sentiasa indah seperti filem Kuliah Cinta lakonan Erra Fazira dan Yusry. Kos perbelanjaan harian anda sewaktu belajar perlu diambil kira. Anda boleh mula lihat pinjaman biasiswa atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah sedia ada untuk memudahkan proses pembelajaran anda.

Jika anda tidak mahu berhutang dengan mana-mana pihak, adalah penting untuk anda berbincang dengan ibu bapa anda terlebih dahulu tentang kos jurusan yang anda pilih. Hal ini supaya tiada kesusahan yang dialami pada masa akan datang dan perancangan dari segi kewangan dapat dilakukan terlebih dahulu.

3. Lihat jarak tempat belajar dengan kampung halaman.

Jika anda seorang yang tidak kisah berjauhan dengan keluarga pada waktu yang lama, ini pasti tidak akan menjadi masalah buat anda. Namun, jika anda seorang yang risau tidak dapat pulang ke kampung halaman selalu, diwajarkan untuk mengkaji dahulu di mana fakulti jurusan pilihan itu berada.

Perkara ini sering menjadi isu apabila anda mempunyai kerja tambahan di universiti yang membuatkan anda tidak boleh pulang ke rumah selalu, homesick merupakan perkara yang biasa berlaku kepada pelajar yang duduk berjauhan dengan keluarga.

Malah, kos pergi dan balik termasuk pengangkutan awam juga perlu diambil kira untuk memudahkan anda dapat pulang ke rumah terutama sekali pada waktu musim perayaan.

4. Menepati kriteria yang diperlukan oleh jurusan tersebut.

Sangat penting untuk anda membaca terlebih dahulu kriteria yang diperlukan oleh jurusan tersebut sebelum memohon. Jika mereka memerlukan keputusan SPM anda Bahasa Melayu sekurang-kurangnya B tambah ataupun A, maka anda perlu pastikan keputusan anda layak.

Jangan salahkan sistem jika anda tidak dipilih, kerana sudah sedia maklum di Unit Pengambilan Universiti (UPU) kriteria yang diperlukan untuk memohon. Begitu juga buat mereka yang ingin memasuki jurusan ijazah sarjana muda yang memerlukan keputusan Malaysian University English Test (MUET) sebagai syarat kemasukan.

Setiap jurusan mempunyai syarat-syarat kelayakan yang berbeza, jadi ambil masa untuk membaca dan memahami setiap satu syarat yang telah disertakan.

5. Buat kajian tentang jurusan yang dipilih.

Melalui UPU, anda akan diberi pilihan untuk memilih beberapa jurusan pilihan anda. Dinasihatkan untuk anda memilih tiga jurusan yang paling anda minat dan yang telah anda membuat kajian terlebih dahulu. Hal ini untuk mengelakkan anda daripada tersalah memilih jurusan berdasarkan nama sahaja.

Kadang kala, jurusan itu nampak seperti yang anda minat namun silibus di dalamnya tidak menepati cita rasa dan kemahiran anda.

Selain itu, ia juga untuk memberi persediaan kepada anda supaya tidak terlalu terkejut dengan silibus yang akan diajar pada setiap semester.

Anda juga boleh mendekati seseorang yang pernah belajar jurusan pilihan anda untuk bertanya soalan, platform media sosial merupakan tempat yang paling sesuai untuk anda mencari kenalan baru.

Selain itu, anda boleh melakukan carian di blog dan laman web yang pernah menceritakan pengalaman mereka melalui temu duga sebagai persediaan sekiranya jurusan anda memerlukan anda hadiri temu duga sebagai syarat kemasukan.

Setelah memastikan kelima perkara ini, anda boleh mula membuat keputusan dengan tenang dan berdoa agar nama anda dipilih dan disenarai pendekkan sebagai calon.

Team Lejen Digital mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang ingin menyambung pelajaran ke menara gading.

Untuk membaca tips-tips lain yang pernah kami kongsikan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca