Melahirkan Anak Saat Diterkam Harimau, Ini Kisah Mistik Asal Usul Nama Kampung Bukit Teriak

Setiap nama tempat mempunyai sejarahnya tersendiri. Ia diambil melalui kejadian atau peristiwa yang berlaku di tempat tersebut. Begitu juga dengan asal usul nama Kampung Bukit Teriak yang terletak di Pokok Sena, Kedah.

Teriak bermaksud menjerit, melaung atau memekik. Menurut seorang penulis sastera, Gurdial Singh yang dipetik dari portal sasterarakyat-kedah, kampung tersebut diberi nama sedemikian sejak tahun 1980-an.

Asal usul nama Kampung Bukit Teriak ini berkait rapat dengan kisah seorang wanita yang sarat mengandung sanggup meredah hutan untuk mencari buah berangan ditemani oleh dua orang rakannya. Setelah menjumpai buah tersebut, dua rakannya bergegas pulang dan meninggalkan wanita tersebut keseorangan di dalam hutan.

Dalam usahanya mengumpul buah berangan tersebut, muncul seekor harimau dan terus menyerangnya. Kebetulan, saat itu juga wanita tersebut mahu melahirkan anak.

Bagaimanapun, wanita tersebut sempat melahirkan anak sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Penduduk kampung datang memberi pertolongan selepas mendengar tangisan bayi di dalam hutan.

Kejadian tersebut meninggalkan sejarah yang tersendiri dan penduduk kampung menamakan kawasan berkenaan ‘Bukit Teriak’.

Seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Shaari Saad berusia 51 tahun mengatakan kisah tersebut pernah diceritakan oleh datuk dan neneknya ketika masih kecil.

“Selain cerita ibu mengandung ini, kami pernah diceritakan kisah kewujudan alam bunian di atas bukit itu. Oleh itu, ada kedengaran bunyi orang teriak dari bukit tersebut,” katanya.

Tambahnya, dia juga mempunyai pengalaman menaiki puncak bukit tersebut ketika usia 20-an. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tiada perkara pelik yang berlaku.

“Masa itu muda lagi, tak fikir apa-apa pun. Kami naik ke atas bukit hanya suka-suka dan melihat pemandangan. Apa yang saya boleh katakan, pemandangan dari situ sungguh indah.”

“Kami dapat melihat sawah yang terbentang luas dengan kampung-kampung berdekatan,” katanya.

Menurut Shaari, “Penduduk kampung sendiri tidak berani mendaki bukit tersebut. Kalau ada pun, mereka yang mempunyai ilmu.”

“Saya pernah dengar cerita, penduduk yang cuba mendaki akan jumpa benda-benda pelik termasuk ular besar. Jadi penduduk di sini memang tidak berani ke bukit tersebut. Kalau ada pun, mereka yang pergi menoreh pokok getah di sekeliling bukit itu sahaja,” katanya.

Artikel Lain Untuk Di Baca