Megan Is Missing: Fakta Atau Fiksi?

Baru-baru ini, Megan Is Missing menjadi buah mulut masyarkat dunia dan ianya hangat diperkatakan di platform media sosial. Semuanya bermula apabila beberapa orang pengguna aplikasi TikTok memuat naik video reaksi masing-masing ketika menonton filem tersebut.

Komen-komen yang diberikan seperti “Traumatized!” dan “I couldn’t even finish it.” menerbitkan perasaan ingin tahu dalam kalangan warganet sehingga ada yang nekad untuk menontonnya.

Persoalannya, ada apa dengan Megan Is Missing? Siapa Megan yang ‘dilaporkan’ hilang ini? Adakah Megan benar-benar tidak dapat dijejak?

Sinopsis

Filem kontroversial ini telah ditulis, diarah, dan disunting oleh Michael Goi; yang juga merupakan penerbit bersama. Megan Is Missing dihasilkan dengan stail rakaman yang dijumpai atau ‘found-footage’. Rakaman-rakaman ini merekod segala peristiwa dari hari pertama berlakunya kes penculikan seorang remaja perempuan bernama Megan. Dengan menetapkan tahun 2007 sebagai latar masa, filem ini telah dikeluarkan pada tahun 2011.

Watak Amy, yang dilakonkan oleh Amber Perkins, menyiasat tentang kehilangan rakannya, Megan (Rachel Quinn). Megan hilang setelah bersembang dengan seorang lelaki bernama Josh, secara atas talian. Josh, rakan sembang Megan, menyatakan bahawa dia sama sekali tidak boleh mendedahkan wajahnya atas alasan kamera web yang terdapat di komputernya rosak. Dia yang mengaku berusia 17 tahun juga telah berjanji akan bertemu dengan Megan di sebuah parti, tetapi dia gagal berbuat demikian. Si gadis Megan memang tidak pernah melihat wajahnya, apalagi bersemuka dengannya.

Fakta Disebalik Megan Is Missing

Adakah filem ini adalah hasil kreatif semata ataupun ianya berdasarkan sebuah kisah benar?

Sebenarnya filem ini hanyalah sebuah cerita rekaan tetapi ia dikomersialkan sebagai sebuah filem berkisarkan tentang kisah nyata dimana pada tahun 1993, anak gadis Marc Klass yang berusia 12 tahun telah diculik dan dibunuh.

Fokus utama filem ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya sembang atas talian. Megan Is Missing mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak sejak awal tayangannya berikutan unsur keganasan dan seksualisasi yang ditunjukkan oleh salah satu watak protagonis disifatkan sebagai melampau. Memetik laporan Entertainment Weekly, filem ini juga disekat sebarang bentuk tayangannya di New Zealand.

Ulasan Michael Goi, Pengarah Filem Megan Is Missing

Oleh kerana publisiti yang tiba-tiba diraih selepas sembilan tahun tayangannya, Michael Goi sendiri telah memuat naik satu video bagi mengulas Megan Is Missing.

“Saya telah menerima satu mesej dari Amber Perkins, pelakon filem saya (Megan Is Missing). Dia mengatakan bahawa filem tersebut menjadi sensasi hangat di aplikasi TikTok pada ketika ini yang mana saya belum berkesempatan untuk memberi amaran kepada mereka yang ingin menonton Megan Is Missing: jangan menonton filem ini ketika waktu tengah malam, dan jangan menonton filem ini berseorangan. Jika anda terlihat perkataan ‘Photo Number One’ muncul di kaca skrin anda, anda ada masa selama empat saat untuk menamatkan filem tersebut. Sekiranya anda sudah berasa tidak enak dan takut yang teramat, tamatkan saja filem itu.”

Pesan Michael Goi lagi, “Saya ingin meminta maaf kepada semua yang telah menonton filem ini. Pasti anda ketakutan. Kepada anda yang berhasrat untuk menonton filem ini, rasanya peringatan ini sudah cukup jelas untuk anda fahami.”

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca