McDonald’s, Starbucks, Pepsi Dan Coca-Cola Menghentikan Perniagaan Di Rusia

Jenama ikonik Amerika Syarikat (AS) iaitu McDonald’s, Starbucks, Pepsi dan Coca-Cola pada Selasa telah mengumumkan mereka menggantung operasi bisnes di Rusia selepas Rusia menyerang Ukraine.

Media antarabangsa melaporkan, langkah menghentikan operasi itu adalah tindakan simbolik sebagai membantah keputusan Rusia untuk meneruskan strategi ketenteraan mereka di negara jirannya itu.

McDonald’s menghentikan sementara operasi 850 buah restoran di Rusia. Namun, rangkaian makanan segera McDonald’s mengatakan bahawa gaji 62,000 pekerjanya akan terus dibayar.

Selain itu, rangkaian kopi Starbucks turut mengumumkan ia menggantung semua aktiviti perniagaan di Rusia termasuklah penghantaran produk dan kafe yang dikendalikan oleh pemegang lesen.

Sejak kebelakangan ini, Pepsi, Coke, McDonald’s dan Starbucks menerima kritikan hebat kerana masih beroperasi di Rusia ketika syarikat AS yang lain terlebih dahulu mengumumkan penggantungan serta menghentikan jualan.

“Hati kami bersama mereka yang terpaksa berdepan kesan buruk daripada peristiwa tragis di Ukraine. Kami akan terus memantau dan menilai situasi,” ujar kenyataan dari Coca-Cola pada Selasa.

Rusia mewakili salah satu daripada sebilangan rantau di dunia yang menunjukkan prestasi penerimaan Pepsi lebih besar berbanding Coke.

Dalam pemfailan regulatori, Coke memberitahu, perniagaannya di Ukraine dan Rusia menyumbang 1 atau 2 peratus daripada keuntungan bersih operasi pada 2021. Pepsi pula menjana sekitar 4 peratus keuntungan tahunan di Rusia, walaupun ia tidak menghentikan keseluruhan bisnesnya di negara itu.

Penggantungan operasi di Rusia melibatkan jualan jenama Pepsi-Cola, 7UP dan Mirinda, selain pelaburan modal dan semua aktiviti pengiklanan dan promosi.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh tekan pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca