Pihak polis telah menemukan mayat seorang pengantin wanita di dalam sebuah beg pakaian di sebuah pekan di England pada Ahad lalu.
Menurut laporan Daily Star, mayat wanita tersebut telah ditemukan di kawasan Aysgarth Avenue di Lightcliffe, berhampiran Brighouse.
Berdasarkan rakan-rakannya yang masih dalam keadaan bersedih, mangsa bernama Dawn Walker, 52, yang juga merupakan seorang ibu, dikatakan baru sahaja berkahwin pada Rabu lepas.
Susulan penemuan mayat Dawn, suaminya, Thomas Nutt yang berusia 45 tahun telah ditahan kerana dipercayai telah terlibat dalam pembunuhannya.
Suspek kini dilaporkan sedang berada dalam tahanan pihak polis.
Seorang rakan mangsa memberitahu bahawa Dawn merupakan seorang wanita yang sangat baik, penyayang dan juga peramah.
Pasangan pengantin itu dikatakan telah berkahwin di Halifax dan majlis mereka telah dihadiri oleh ahli keluarga dan sahabat handai yang terdekat.
Pihak penyiasat forensik telah mengeledah rumah pasangan itu di Brighouse untuk mencari sebarang bahan bukti.
Menurut penyiasat forensik, Dawn dipercayai telah dicekik sampai mati dan kemudiannya mayatnya itu dimasukkan ke dalam beg pakaian.
Beg pakaian berisi mayat mangsa telah dijumpai pada bahagian semak di belakang rumahnya.
Pihak polis kini sedang mencari individu yang telah menghubungi mereka untuk melaporkan tentang pembunuhan tersebut namun tiada sesiapa yang tampil untuk mengaku.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: