Pada pagi Jumaat lepas, mayat seorang lelaki tanpa kepala yang dipercayai dibaham buaya telah ditemui di kolam tadahan air Sahabat 41, dekat Lahad Datu, Sabah.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, mayat mangsa yang malang itu ditemui pada pukul 6.15 pagi dalam keadaan tidak sempurna, kesan luka gigitan di kaki dan paha termasuk hilang tangan kanan daripada bahu hingga ke rusuk. Mayat berkenaan ditemui oleh kumpulan pencari termasuk polis, kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Tambah beliau, mangsa yang berusia 30-an itu dikenali sebagai Stephen Tolok sebaik sahaja pengecaman dilakukan oleh isteri dan rakannya menerusi seluar yang dipakai Stephen pada hari terakhir dia dilihat.

“Kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakannya sedang menjala ikan di kolam tadahan Kilang Sahabat 41, Kampung Kembara Sakti,” jelasnya.

“Sewaktu mangsa dan rakannya sedang menjala ikan, tiba-tiba kaki kanan mangsa digigit dan diheret ke dasar kolam, mangsa sempat menjerit minta tolong,” katanya dalam satu kenyataan.

Nasri memberitahu insiden berkenaan berlaku di depan mata rakan mangsa yang kemudiannya segera melaporkan kejadian itu kepada pihak pengurusan ladang. Mereka kemudiannya membuat laporan polis.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda