Baru-baru ini, berita daripada negara India menyiarkan tentang penemuan mayat seorang doktor veterinar yang berusia 26 tahun. Mangsa ternyata ditemui dalam keadaan rentung dan dipercayai dirogol oleh pelaku sebelum dibunuh dan dibakar.

Jasad rentung milik Dr. Potula Priyanka Reddy dikatakan ditemui dalam saluran air sekitar pinggir bandar Shadnagar pada pagi Khamis lepas.

Awalnya, mangsa telah dilaporkan hilang pada hari sebelumnya iaitu Rabu. Berdasarkan kenyataan pihak berkuasa, mayat mangsa ditemukan oleh seorang penjual susu pada jam 6 pagi waktu tempatan.

Hasil siasatan mendapati bahawa mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari hospital menuju plaza Tol di Tondupally untuk mendapatkan skuternya. Malahan, mangsa juga dikatakan sempat memaklumkan kepada adiknya bahawa tayar skuternya telah pancit dan terdapat beberapa orang asing sedang cuba membantunya.

Bukan itu sahaja, mangsa berkenaan dikatakan menggesa adik perempuannya untuk sentiasa bercakap dengannya melalui telefon disebabkan oleh rasa takut dan tidak percaya terhadap orang-orang yang menawarkan bantuan.

Bagaimanapun, panggilan telefon tiba-tiba dimatikan dan keluarga mangsa segera melaporkan kepada pihak polis.

Susulan daripada penemuan mayat mangsa, pihak polis kini dilaporkan telah menahan empat suspek dan antaranya merupakan seorang pemandu lori bernama Mohammed Pasha.

Berdasarkan kenyataan pihak berkuasa, identiti kesemua suspek telah pun dikenal pasti menerusi pemerhatian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) manakala motif pembunuhan pula masih dalam siasatan.

Semoga keadilan buat Dr. Potula Priyanka Reddy dan keluarga terbela dengan sewajarnya!

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

mStar