Maxis hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak Huawei yang baru sahaja melancarkan telefon skrin boleh lipat berharga hampir RM11,000. Kedua-dua pihak ini akan bekerjasama dalam usaha melonjakkan teknologi 5G di Malaysia. Sokongan rangkaian 5G ini dijangka menawarkan kelajuan yang berkali ganda lebih tinggi berbanding rangkaian 4G.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif baharu Maxis, Gokhan Ogut, syarikat telekomunikasi berkenaan sudah lama memulakan perjalanan teknologi 5G sebelum ini di mana mereka telah memfokuskan kepada percubaan secara langsung, pelaburan serta mempertingkatkan infrastruktur mereka untuk menyokong rangkaian generasi baru berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan menyifatkan kerjasama tersebut sebagai bukti komitmen kedua-dua syarikat terhadap masa depan 5G di negara ini.
Buat masa ini, pihak Maxis belum lagi mengumumkan bila mereka akan memperkenalkan rangkaian 5G untuk pengguna tempatan secara komersial. Sebelum ini, ujian teknologi 5G telah pun dijalankan oleh pihak kerajaan di Cyberjaya dan keputusan lanjutan berkenaan penawaran rangkaian tersebut dikatakan bakal dibuat selepas ujian itu berakhir pada hujung tahun ini.