Dunia hiburan Thailand digemparkan dengan berita pemergian seorang aktres terkenal iaitu Tangmo Nida yang dipercayai menghembuskan nafas terakhir selepas terjatuh dari bot laju di Sungai Chao Phraya.
Memetik laporan Bangkok Post, Tangmo yang berusia 37 tahun dikatakan menaiki bot tersebut pada Khamis lalu bersama beberapa orang rakan termasuk pembantu peribadinya.
Mereka semua difahamkan dalam perjalanan dari Jambatan Krung Thon di Bangkok menuju ke Jambatan Rama VII di Nothaburi, Thailand. Ketika dalam perjalanan, aktres itu yang tidak memakai jaket keselamatan telah duduk di bahagian bot paling belakang.
Tangmo bagaimanapun tiba-tiba tergelincir dari bot berkenaan sebelum terjatuh ke dalam sungai. Menurut sumber, misi pencarian jasad mendiang berjalan selama dua hari.

Pasukan penyelamat dan penyelam memulakan pencarian tetapi keadaan agak sukar kerana air sungai ketika itu deras dan cahaya sangat terhad.
Selepas 38 jam, jasad aktres berkenaan berjaya ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasinya terjatuh. Abang Tangmo iaitu Dayos Detjob yang turut menyertai operasi pencarian itu merupakan individu pertama yang mengesan jasad mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai adik perempuannya itu sebelum memaklumkan kepada pasukan penyelamat.
Pemilik bot iaitu Tanupat Lerttaweewit mendakwa jaket keselamatan memang sudah disediakan tetapi tiada seorang penumpang pun yang memakainya kerana tidak tahu di mana ia disimpan.
Apabila ditanya punca lambat melaporkan kepada pihak polis berhubung insiden tersebut, Tanupat mendakwa dia sangat terkejut dengan apa yang berlaku ketika itu.
Dalam pada itu, Tanupat kemungkinan akan menghadapi pertuduhan menggunakan bot laju dengan lesen tamat tempoh manakala seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Bert iaitu individu yang menerajui bot ketika Tangmo terjatuh pula mungkin menghadapi pertuduhan memandu bot tanpa lesen.
Jasad mangsa difahamkan telah dibawa ke Institusi Pusat Sains Forensik Hospital Universiti Thmamasat untuk bedah siasat tentang punca kematian.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: