Maut Ketika Padamkan Kebakaran Australia, Tetamu Sebak Lihat Anak Bomba Bermain Di Keranda Bapa

Gelagat anak perempuan kepada seorang anggota bomba Australia yang terkorban dalam misi memadamkan kebakaran di negara itu meruntun hati masyarakat selepas dia ternyata enggan meninggalkan keranda bapanya meskipun tidak mengerti apa yang sudah terjadi.

Babak menyentuh perasaan itu berlaku hanya beberapa ketika selepas Charlotte O’Dwyer yang baru berusia satu tahun menerima pingat penghargaan yang dianuerahkan kepada mendiang bapanya yang meninggal dunia beberapa hari sebelum Hari Natal.

Dengan berpakaian gaun putih, Charlotte dapat dilihat menyentuh keranda yang menyimpan jasad bapanya dalam majlis yang dijalankan di Gereja Our Lady of Victories di Horsley Park.

Buat seketika, telatah anak kecil yang dilihat berbaring di bawah keranda bapanya sambil memakan snek membuatkan ramai tetamu tersenyum.

Walau bagaimanapun, perkara itu juga mendatangkan sebak kepada orang ramai saat mereka memikirkan Charlotte sebenarnya tidak mengerti apa yang sedang berlaku.

Bapa Charlotte yakni Andrew O’Dwyer, 36, meninggal dunia pada Disember tahun lalu selepas trak bomba yang dinaikinya melanggar sebatang pokok tumbang ketika sedang berperang melawan kebakaran besar di bandar Buxton, New South Wales.

Geoffrey Keaton, 22 (Kanan) bersama anaknya

Andrew dan seorang lagi rakan setugasnya, Geoffrey Keaton, 32, merupakan sukarelawan dari Rural Fire Service disahkan terbunuh ekoran dari kemalangan terbabit.

Scott Morrison (Perdana Menteri), Gladys Berejiklian (Perdana Menteri New South Wales), David Elliot (Menteri Perkhidmatan Kecemasan Negeri) dan Chris Bowen yakni Ahli Parlimen Buruh persekutuan merupakan antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada sukarelawan berkenaan.

Ahli bomba yang hadir dalam majlis itu memberi penghormatan terakhir kepada Andrew saat kerandanya diusung keluar dengan membuat tabik hormat dan meletakkan tangan di dada.

Dalam satu ucapannya semasa majlis pengebumian itu, Shane Fitzsimmons yakni Pesuruhjaya Rural Fire Services tidak dapat menahan sebak ketika dia bercakap mengenai Charlotte dan isteri mendiang Andrew iaitu Melissa.

“Charlotte harus mengetahui bahawa bapanya adalah seorang wira. Andrew ialah seorang lelaki istimewa yang tidak mementingkan dirinya,” ujar Shane.

“Tidak ada perkataan yang mampu untuk menggambarkan kesedihan dan rasa hormat yang kami rasai mengenai pemergian Andrew dalam insiden tragis ini.”

Bagi bapa Andrew, Errol O’Dwyer yang turut hadir dalam majlis itu berkata, amat sukar baginya untuk mengucapkan selamat jalan kepada anak lelakinya itu.

“Andrew pernah beritahu saya bahawa pencapaian terbesar dalam hidupnya adalah kelahiran anak perempuannya, Charlotte.”

“Walaupun saya sangat sedih, saya ingin memberitahunya bahawa saya sangat bangga dengannya,” ujar Errol.

Menurut laporan, satu memorial dirancang akan dibina bagi memperingati jasa dua anggota bomba yang terkorban itu.

Sehingga kini, kebakaran hutan belukar di Australia sudah meragut nyawa sekurang-kurangnya 24 individu manakala 200,000 yang lain hilang tempat tinggal.

Menurut pakar, terdapat kemungkinan besar sebanyak satu bilion hidupan liar Australia sudah terbunuh ekoran daripada kebakaran yang bermula sejak bulan Ogos tahun lalu.

Untuk membaca artikel lain berkaitan kebakaran hutan di Australia, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca