Enam sekeluarga dari Pulau Denawan, Semporna, maut selepas dipercayai ditembak dalam kejadian di selatan perairan Filipina, baru-baru ini.
Dalam kejadian 5 November lalu, kesemua mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dikatakan dalam perjalanan untuk menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Siasi, selatan Filipina.
Datuk Omar Mammah, Pesuruhjaya Polis Sabah berkata, siasatan mendapati keenam-enam mangsa itu menetap di Pulau Denawan, Semporna namun tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.
Katanya, kes kini diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut memandangkan ia berlaku di luar perairan negara.
“Aduan telah dibuat dan mayat mangsa akan dibawa pulang ke Pulau Denawan pada 7 November dan akan dikebumikan pada 8 November.”
“Satu laporan polis telah dibuat oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan siasatan kini dijalan. Kes ini disiasat sebagai kes SDR atau laporan mati mengejut,” katanya.
Selepas ditemui dalam majlis sesi pendengaran awam Jawatankuasa Khas Menimbang Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) di Kota Kinabalu, pada Ahad lalu.
Mengulas lebih lanjut, Datuk Omar berkata, motif kejadian berkemungkinan kerana balas dendam memandangkan semua barangan milik mangsa tidak hilang di lokasi kejadian.
Beliau menambah, ketika insiden itu berlaku, enam mangsa bersama dua lagi alhli keluarga yang lain menaiki bot menuju ke selatan Filipina sebelum ditahan sebuah bot di perairan berkenaan.
Jelasnya, tembakan kemudiannya dilepaskan oleh sekumpulan individu tersebut dan mengorbankan keenam-enam mangsa. Dua lagi ahli keluarga mereka yang terselamat telah membuat laporan polis di IPD Semporna.