KONGSIKAN

Kejadian bencana alam yang sering melanda dunia kebelakangan ini pastinya menimbulkan keresahan kepada setiap anggota masayarakat. Bermula daripada kejadian bencana alam seperti tsunami dan gempa bumi yang melanda Indonesia sehinggalah yang terbaru di Malaysia iaitu kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang. Namun apa yang mengagumkan ialah bagi sesetengah tempat yang dilanda bencana alam, pusat ibadat seperti masjid jarang sekali terjejas. Apakah rahsia di sebalik kejadian ini?

Ramai yang beranggapan bahawa apabila sesebuah pusat ibadat seperti masjid tidak terjejas apabila terjadinya bencana alam seperti banjir dan gempa bumi, ianya merupakan satu tanda peringatan dari Allah S.W.T.. Namun melalui satu bebenang daripada Twitter, saudara Zamir Mohyedin berkongsi penjelasan di sebalik kejadian tersebut.

 

 

Menurutnya, sesetengah masjid tidak terjejas ketika bencana alam berlaku kerana masjid mempunyai banyak ‘lompong’ dan pintu masuk. Selain itu masjid juga mempunyai tiang yang banyak.

Apabila berlakunya langgaran banjir atau tsunami, hentaman yang diterima oleh masjid tidak terlalu tinggi kerana air dapat melalui masjid melalui ‘lompong-lompong’ tersebut. Ruang yang luas dan terbuka ini secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan dan hentaman ketika tsunami berlaku.

 

 

Ini berbeza dengan struktur binaan rumah kerana rumah dibina dengan cara ‘tertutup; dimana hanya mempunyai bukaan pada pintu masuk dan tingkap. Akibatnya, apabila banjir atau tsunami berlaku, bangunan itu akan mudah hancur akibat tekanan air yang tinggi.

Bahan binaan masjid juga terdiri daripada bahan-bahan yang mempunyai daya ketahanan yang lebih tinggi daripada bahan yang digunakan untuk membina rumah. Namun jangan ingat tak ada kes masjid runtuh ya. Masih ada kes masjid runtuh akibat bencana alam.

 

 

Kesimpulannya di sini ialah, kita seharusnya mengakui kekuasaan Tuhan. Namun jangan jadikan teguhnya masjid berdiri ketika sesuatu bencana alam terjadi sebagai simbolik kebenaran Islam. Sebaliknya, sama-samalah kita sentiasa menggunakan akal fikiran untuk berfikir kerana sesungguhnya akal merupakan ciptaan Tuhan yang paling agung.