Masih Segar Di Ingatan, Memperingati Peristiwa Rampasan Kapal Terbang Pertama Malaysia MH635

Sebelum insiden kehilangan pesawat MH370 dan kejadian tembakan MH17, industri penerbangan Malaysia sudah melalui detik hitam suatu ketika dahulu. Kes yang berlaku pada 1977 itu berlaku ketika kapal terbang MH635 dirampas sewaktu di udara. Peristiwa ini menjadikannya antara kes rampasan kapal terbang paling berbahaya dalam sejarah penerbangan Malaysia.

MH635 yang terhempas di Tanjung Kupang, Johor telah meragut nyawa kesemua 98 orang penumpang dan 7 orang anak kapalnya. Pelbagai soalan timbul dan rata-ratanya menyoal bagaimana si perampas boleh berada di dalam pesawat terbabit tanpa dikesan oleh pihak sekuriti lapangan terbang.

Kotak hitam MH635 merekodkan kejadian menakutkan

Pada 4 Disember 1977, pesawat MH635 sedang bersiap sedia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk melakukan penerbangan yang dijadualkan pada jam 7.15 petang. Destinasinya adalah Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Di dalam kapal terbang terbabit terdapat 98 orang penumpang termasuk Menteri Pertanian Malaysia ketika itu, Datuk Seri Ali bin Ahmad dan Duta Cuba ke Jepun, Mario García Incháustegui. Pesawat terbabit juga membawa 7 orang anak kapal lain.

Hari itu dikatakan telah bermula dengan satu kontroversi apabila salah seorang pengawal peribadi Datuk Seri Ali enggan menyerahkan senjata api yang dibawa bersamanya sebelum menaiki pesawat. Walau bagaimanapun, mereka akhirnya dibenarkan menaiki penerbangan terbabit tidak lama kemudian.

Tepat seperti jadual, pesawat MH635 yang dipandu Kapten G.K Ganjoor dan Pegawai Pertama Karamuzaman Jali meninggalkan lapangan terbang terbabit menuju destinasi. Kurang daripada setengah jam kemudian, mereka sudah mendekati lapangan terbang Subang dan persedian pendaratan telah dilakukan.

Namun begitu, pesawat MH635 tidak mendarat di landasan seperti yang sepatutnya.

Melalui rakaman kotak hitam, dapat didengari suara Kapten G.K Ganjoor memberi kebenaran kepada seseorang untuk memasuki ruangan kokpit.

“Keluar! Matikan semua hubungan radio! Matikan semuanya sekarang!” ujar satu suara yang didakwa merupakan salah seorang si perampas pesawat.

Kapten G.K Ganjoor yang masih tenang cuba mengawal situasi dengan bertanya kepada penjenayah destinasi pilihan mereka. Walau bagaimanapun, juruterbang terbabit memberitahu bahawa pesawat hanya mempunyai minyak yang cukup untuk membawa mereka ke Singapura. Menyedari mereka tiada pilihan lain, kumpulan perampas terbabit menyuruh Kapten G.K Ganjoor memberitahu menara kawalan bahawa mereka kini menuju ke Singapura.

Kedua-dua juruterbang itu akur. Kapten G.K Ganjoor sempat memberitahu salah seorang pramugara untuk pergi menenangkan penumpang untuk mengelakkan panik tercetus.

Tidak lama selepas itu, pesawat MH653 kini sudah berada di ruang udara negeri Melaka semakin menghampiri Batu Pahat, Johor. Ketika itu, kumpulan perampas menjadi semakin resah dan mula berasa curiga dengan juruterbang. Kemungkinan besar mereka mengesyaki bahawa pihak berkuasa sudah menunggu mereka di landasan.

Pada jam 8.33 malam, dalam keadaan tertekan, kumpulan penjenayah melakukan satu-satunya perkara yang terlintas di minda iaitu menembak mati kedua-dua juruterbang terbabit.

Kata-kata terakhir Kapten G.K Ganjoor yang merayu agar tidak dibunuh jelas kedengaran melalui rakaman kotak hitam pesawat. Selang beberapa minit selepas tembakan dilepaskan, pelbagai bunyi kedengaran daripada ruangan kokpit berkenaan. Laporan mengatakan kumpulan perampas telah cuba untuk mengawal kapal terbang. Saksi mengatakan mereka telah terlihat pesawat Boeing 737 naik ke atas dan turun ke bawah beberapa kali.

Pesawat MH635 terhempas

Pada jam 8.36 malam, pesawat MH635 terhempas di Tanjung Kupang, Johor. Pasukan penyelamat dan penyiasat segera tiba di lokasi untuk mencari mangsa yang terselamat. Malang sekali apabila hasil siasatan mendapati tiada seorang pun penumpang atau anak kapal yang terselamat. Lebih menyedihkan apabila tidak ada satu mayat yang berada dalam keadaan sempurna.

Akhirnya, pihak penyelamat berhenti mencari mangsa yang terselamat dan mula fokus mengutip cebisan mayat penumpang yang sudah rentung. Kesemua jenazah yang tidak dapat dikenal pasti telah ditanam dalam satu kubur besar.

Siapakah si perampas?

Beberapa tahun selepas insiden terbabit, banyak teori telah muncul mengenai identiti si perampas. Ada yang beranggapan si perampas berkemungkinan merupakan pengganas Cuba memandangkan Mario García Incháustegui berada di dalam kapal terbang terbabit.

Di samping itu, satu teori turut mengatakan penglibatan pengawal peribadi Datuk Seri Ali bin Ahmad yang menemaninya pada hari kejadian. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa pengawal itu merupakan si perampas yang dicari ekoran keengganan lelaki itu menyerahkan senjata api yang dimilikinya sebelum menaiki kapal terbang.

Namun begitu, sehingga kini, identiti si perampas masih tidak dapat dikenal pasti.

Antara faktor yang menyumbang kepada hal ini adalah kerana tahap keselamatan lapangan terbang Pulau Pinang yang sememangnya rendah. Hal ini menyebabkan ia tersenarai sebagai antara lapangan terbang yang paling mudah berlakunya jenayah oleh International Federation of Airline Pilots’ Association.

Terdapat satu kejadian di mana seseorang individu telah berjaya mencuri masuk ke dalam pesawat tanpa tiket penerbangan. Perkara itu hanya disedari pihak penerbangan apabila seorang penumpang mengadu tempat duduknya diambil oleh orang yang tidak dikenali.

Peristiwa ini telah menyebabkan pihak kerajaan menaik taraf sistem keselamatan di lapangan-lapangan terbang di seluruh negara. Sekuriti sudah diketatkan dan memperuntukkan mereka memeriksa setiap penumpang dan kargo sebelum penerbangan. Selain itu, golongan VIP juga tidak lagi berkecuali daripada diperiksa sebelum menaiki pesawat.

Walaupun dengan penambahbaikan ini, misteri identiti perampas pesawat MH635 masih menjadi tanda tanya. Meskipun ia kekal menjadi titik hitam dalam sejarah penerbangan Malaysia, peristiwa ini juga menjadi pemangkin kepada pembaikan positif di lapangan terbang yang dapat dilihat pada hari ini.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca