Masih Jadi Tanda Tanya, Ini 4 Kisah Kehilangan Misteri Yang Belum Dirungkai

Pelbagai cara dan usaha telah dilakukan oleh pihak polis, media dan masyarakat untuk menyelesaikan kes-kes ini tetapi ia masih menemui jalan buntu. Kami akan kongsikan empat kisah kehilangan misteri yang masih belum dapat dirungkai menerusi artikel ini:

1. Elisa Lam

Pada 19 Februari 2013, jasad Elisa Lam telah ditemui terapung dalam tangki air Hotel Cecil, Los Angeles. Jasad Elisa ditemui selepas pihak hotel menjalankan siasatan kerana menerima banyak aduan bahawa air paip berbau dan rasanya aneh.

Walaupun siasatan polis mengesahkan bahawa Elisa yang berusia 22 tahun telah meninggal dunia kerana lemas dalam tangki hotel tersebut, pintu bumbung berkenaan dikunci. Ia menimbulkan tanda tanya di sini kerana penggera hotel berkenaan sepatutnya mengeluarkan bunyi sekiranya Elisa buka pintu tersebut,

Tidak berhenti di situ, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan menunjukkan pelajar dari Kanada itu berkelakuan pelik dalam lif kerana Elisa seperti menyorok daripada seseorang ataupun sesuatu sebelum hilang buat selama-lamanya.

2. Tara Calico

Sumber: People

Pada tahun 1988, Tara Calico dilaporkan hilang selepas berbasikal di kawasan berhampiran rumahnya dekat New Mexico, Amerika Syarikat. Walaupun siasatan telah dibuat, tidak ada bukti yang boleh membawa kepada penangkapan suspek ataupun penemuan Tara.

Setahun selepas kehilangan Tara, sekeping gambar polaroid telah ditemui di Port St. Joe, Florida. Walaupun rambut, mata, hidung dan telinga gadis di dalam gambar tersebut sama seperti Tara, ia tidak dapat dipastikan sama ada foto berkenaan sengaja ‘direka’ ataupun kedua-dua individu tersebut benar-benar diikat tanpa kerelaan mereka. 

Pihak polis juga gagal mencari bukti yang kukuh untuk mengaitkan gambar ini dengan kehilangan Tara. Oleh itu, nasib Tara masih lagi kekal misteri sehingga ke hari ini.

3. Emanuela Orlandi

Sumber: Ary News

Emanuela telah dilaporkan hilang pada 22 Jun 1983 selepas menghadiri kelas muzik di Rom. Beberapa hari selepas kehilangannya, pihak polis menerima panggilan daripada individu yang berkata bahawa dia ternampak Emanuela pada hari kejadian.

Pihak penyiasat percaya bahawa pemanggil itu berkata benar kerana dia turut melihat pakaian dan seruling Emanuela. Pemanggil itu turut mendakwa Emanuela telah lari dari rumah dan menggelar dirinya sebagai Barbarella.

Kehilangan Emanuela telah dikaitkan dengan pelbagai teori termasuk kumpulan mafia dan pengganas Turki. Untuk pengetahuan anda, misteri kehilangan Emanuela masih tidak dapat dirungkai sehingga ke hari ini.

4. Ricky McCormick

Sumber: The Lineup

Pada 30 Jun 1999, Ricky McCormick ditemui tidak lagi bernyawa di sebuah padang dekat St. Charles, Amerika Syarikat. Siasatan mendapati Ricky telah meninggal dunia selama tiga hari sebelum jasadnya ditemui oleh pihak polis.

Menerusi pemeriksaan lanjut, pihak polis telah menemui dua nota dengan kod rahsia dalam poket Ricky. Pihak FBI telah meminta pertolongan orang ramai untuk decode kod rahsia berkenaan.

Pihak FBI percaya bahawa ia akan membawa kepada suspek yang meragut nyawa Ricky tetapi siasatan berkenaan tidak membuahkan apa-apa hasil.

Atas sebab itu, orang ramai jadi semakin keliru sama ada ia sekadar contengan biasa atau benar-benar mengandungi mesej rahsia seperti yang didakwa.

Pada pendapat anda, adakah kisah-kisah ini boleh diselesaikan selepas sekian lama?

Penulis: 

  • NoorAida Izzati Jasni adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca