Keluarga daripada penumpang LRT yang cedera parah susulan daripada kemalangan transit aliran ringan (LRT) minggu lalu telah menuntut pampasan sebanyak RM1.8 juta kepada Prasarana Malaysia Berhad sebagai ganti rugi.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam pihak keluarga mangsa, mangsa yang bernama Wong Chee Foong, 52, merupakan bapa kepada empat orang anak, telah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, muka dan tulang belakang.
Wong dikatakan masih di bawah jagaan unit rawatan rapi (ICU) dan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Pihak keluarga mangsa menuntut pampasan tersebut untuk membiayai kos perubatan, kecederaan fizikal, tekanan mental dan emosi dan kehilangan pendapatan.
Keluarga mangsa berasa sangat terkesan dengan kejadian tersebut kerana Wong merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi keluarga mereka.
Pada 24 Mei lalu, hari terjadinya kemalangan tersebut, mangsa sedang dalam perjalanan pulang daripada tempat kerja dan dia telah menaiki tren daripada stesen KLCC dan sepatutnya turun di stesen Masjid Jamek untuk menukar tren ke Cheras.
Peguam keluarga mangsa, Jazzmine Khoo, menzahirkan rasa kesalnya terhadap Prasarana dan cara mereka mengatasi situasi tersebut kerana keluarga mangsa masih belum menerima sebarang surat atau permohonan maaf rasmi dan sokongan moral.
Keluarga mangsa turut menyatakan bahawa RM1,000 yang diberikan oleh pihak Prasarana tidak cukup sebagai wang pampasan memandangkan kecederaan yang dihadapi mangsa adalah jauh lebih parah.
Pihak keluarga turut menjelaskan rasa risau kerana mereka tidak tahu jika Wong boleh kembali bergerak dan bekerja seperti biasa lagi.
Lebih menyayatkan hati, mereka juga mempunyai seorang anak yang menghidap autisme dan memerlukan keperluan khas.
Jadi, nilai tuntutan tersebut bukan sahaja untuk digunakan buat pembiayaan semasa tetapi juga untuk masa hadapan.
Dalam kejadian 24 Mei lalu, sebuah tren yang rosak telah bertembung dengan sebuah tren lain yang membawa penumpang seramai 213 orang dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC di laluan Kelana Jaya.
47 orang daripada penumpang tren tersebut mengalami cedera parah termasuk tiga yang dalam keadaan kritikal dan 166 orang lagi yang mengalami cedera ringan.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: