Seorang pemuda bagaikan dirasuk syaitan apabila dia bertindak menikam dada seorang imam gara-gara tidak puas hati dengan mangsa yang membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.

Suspek yang berusia 23 tahun itu dipercayai berbuat demikian kerana dia mendakwa bahawa bacaan yang kuat itu telah mengganggu tidur lenanya.

Dalam kejadian pada Ahad lepas, jam 6.30 pagi itu, suspek dikatakan datang dari arah belakang ketika mangsa sedang mengaji al-Quran di Masjid Kampung Apal, Besut.

Tanpa berfikir panjang, suspek dipercayai terus menikam bahagian dada mangsa yang berusia 37 tahun itu dengan menggunakan objek tajam. Mangsa yang mengerang kesakitan itu kemudiannya ditinggalkan begitu sahaja.

Mangsa yang merupakan imam di Surau Rantau Petronas, Kerteh, Terengganu itu mengalami kecederaan luka di bahagian kiri dada dan terus dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Dia dikhabarkan menerima 7 jahitan.

Difahamkan, mangsa pulang ke Besut kerana menguruskan jenazah ayahnya yang meninggal dunia pada 10 Mei 2019.

Ketika kejadian itu berlaku, terdapat 2 orang jemaah yang sedang berehat di ruangan belakang masjid berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Zamri Mohd Rowi, suspek didapati positif methamphetamine dan mengaku menikam mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.

Suspek telah ditahan oleh pihak polis dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa menggunakan senjata tajam.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry