Mantan Vokalis Berkumpulan Diberkas Kerana Didakwa Positif Penggunaan Dadah

Seorang bekas vokalis berkumpulan popular sewaktu era 90-an telah ditahan oleh pihak polis. Pemberkasan terhadap mantan vokalis berkenaan dilaporkan berlaku pada jam 11.30 malam semalam bertempat di kawasan rumah kedai, Taman Perling, Johor Bahru.

Penyanyi berusia 41 tahun ini ditahan oleh pihak berkuasa bersama-sama dengan seorang rakannya sewaktu menunggang motosikal dalam keadaan yang sangat mencurigakan.

Sebaik sahaja pemeriksaan dijalankan ke atas mereka berdua, pihak polis telah menemukan sepaket serbuk putih di dalam dompet kepunyaan penyanyi tersebut.

Bungkusan serbuk putih yang ditemukan oleh pihak polis merupakan dadah yang dipercayai jenis syabu.

Selain daripada didakwa memiliki dan membawa bahan terlarang tersebut, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mereka juga menunjukkan hasil positif dalam penggunaan dadah.

Berhubung kes yang berlaku, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh pihak berwajib mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad enggan mengulas kes itu dengan lebih lanjut. Beliau hanya mengesahkan bahawa penahanan terhadap mantan vokalis berkenaan bersama rakannya adalah benar.

Artikel Lain Untuk Di Baca