Perkongsian pada kali ini mengisahkan tentang seorang pembunuh bersiri yang sangat terkenal di Amerika Syarikat iaitu Richard Ramirez atau lebih dikenali sebagai The Night Stalker.
Profil Richard Ramirez
Richard dilahirkan di El Paso, Texas pada tahun 1960. Ayah kepada pelaku ini merupakan warga Mexico dan seorang bekas anggota polis dari Juarez. Sebagai makluman, ayah Richard mempunyai sikap panas baran dan gemar memarahi anak-anaknya.
Richard dikatakan mula mengenali dunia keganasan semenjak kerap meluangkan masa bersama sepupunya iaitu Miguel. Miguel merupakan bekas ahli Green Berets sering menceritakan pengalamannya sewaktu menyertai Vietnam War.
Tidak cukup dengan itu, Miguel turut berkongsi kepingan gambar polaroid yang menunjukkan mangsa rogol dan mangsa pembunuhannya kepada Richard, termasuklah foto wanita yang telah terpisah bahagian badan dan kepala. Perkongsian gambar-gambar dan segala yang diceritakan oleh sepupunya secara tidak langsung menjadikan Richard semakin berminat dan tertarik akan perbuatan terkutuk itu.
Ketika usia 10 tahun lagi, Richard sudah mula menghisap ganja dan diajar menggunakan pelbagai jenis senjata oleh Miguel. Pada suatu hari, Miguel telah menembak kepala isterinya sewaktu sedang bertengkar.
Kejadian itu disaksikan sendiri oleh Richard buat pertama kalinya. Selepas daripada peristiwa itu, Richard menetap bersama keluarga kakak dan abang iparnya. Ternyata, perangai dan tabiat abang ipar Richard sangat tidak senonoh di mana dia sering menghendap wanita-wanita dan membawa pelaku untuk menyertai aktiviti tersebut.
Setelah meningkat dewasa, dia bekerja di sebuah hotel. Bagaimanapun, Richard yang licik telah menggunakan kunci pendua untuk memecah masuk bilik hotel tetamu dan mencuri barang-barang milik mereka.
Keinginan seksual Richard memaksa dia untuk mencuba merogol salah seorang tetamu hotel, namun niat jahatnya disedari oleh suami wanita berkenaan yang kebetulan baru sahaja pulang ke bilik tersebut. Kejadian ini menyebabkan Richard telah dibuang kerja secara serta merta.
Kisah pembunuhan bersiri The Night Stalker
Menjangkau usia 22 tahun, Richard berhijrah ke California. Siapa yang sangka, perpindahan pelaku ke situ telah menggelarkannya sebagai The Night Stalker. Berikut penulis kongsikan 4 pembunuhan yang dilakukan oleh Richard sepanjang tahun 1984 hingga 1985:
1. 10 April 1984
Richard telah membunuh seorang mayat kanak-kanak perempuan yang berumur 9 tahun bernama Mei Leung. Kanak-kanak malang ini dipercayai dirogol, dipukul dan ditikam secara berulang kali.
Mayat mangsa kemudiannya digantung terikat pada sebatang paip yang terletak di basement hotel. Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan ke atas Richard berikutan kekurangan bukti yang kukuh oleh pihak berkuasa pada waktu itu.
2. 1984
Pembunuhan seterusnya berlaku pada tahun yang sama ke atas seorang warga emas. Wanita ini dikatakan telah ditikam bertubi-tubi sehingga mati sewaktu sedang tidur. Kelaran yang dilakukan oleh Richard berulang-kali di leher mangsa menyebabkan kepala wanita itu hampir putus.
3. 1985
Richard bertindak memecah masuk sebuah garaj seorang wanita lalu menembak ke arah mangsa. Bagaimanapun, nyawa wanita ini masih panjang apabila tembakan tersebut sama sekali tidak mengenai dirinya.
Sejurus menyedari bunyi tembakan itu, seorang rakan rumah kepada wanita berkenaan terus mencari ruang untuk bersembunyi. Malangnya, Richard telah menemuinya terlebih dahulu dan terus menembak tepat ke kepala mangsa.
4. 10 hari selepas kejadian pada tahun 1985
Richard dilaporkan memecah masuk sebuah rumah dan membunuh seorang lelaki. Tidak cukup dengan itu, dia sanggup memukul isteri mangsa dan memaksanya untuk menunjukkan tempat penyimpanan barangan berharga milik mereka.
Semasa mendapatkan barangan yang diminta, wanita berkenaan segera mendapatkan senapang milik suaminya, namun malangnya senjata yang diacukan ke arah Richard ternyata tidak mempunyai sebarang peluru.
Akibat berang dengan tindakan wanita itu, Richard bertindak lebih ganas daripadda biasanya. Dia segera melepaskan tiga tembakan pada wanita tersebut. Bukan itu sahaja, dia juga memotong anggota badan mangsa dan mengorek keluar biji matanya untuk dibawa pulang bersama-sama dengan barang berharga yang dirompak.
Penangkapan Richard Ramirez
Menurut TheLaki, Richard akhirnya tumpas dan berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa pada bulan Ogos 1985 sejurus selepas mengesan kewujudan cap jari pelaku yang melekat di salah sebuah lokasi jenayahnya. Sepanjang hari pertama perbicaraan, Richard memperlihatkan satu simbol pentagram yang terukir di tapak tangannya sambil melaungkan ungkapan “Hail Satan!”
Hasil perbicaraan mahkamah memutuskan bahawa Richard disabitkan sebanyak 43 kesalahan jenayah iaitu 13 kes pembunuhan, 5 cubaan membunuh, 11 serangan seksual dan 14 kes pecah rumah.
Dia telah diberikan hukuman mati dengan gas beracun. Bagaimanapun, pengakhiran kehidupan Richard bukan disebabkan oleh hukuman tersebut namun berpunca daripada penyakit yang dihidapi oleh pelaku.