Mangsa Didakwa Lari Selepas Dapatkan Rawatan, Pihak Polis Gesa Individu Tersebut Tampil Untuk Siasatan Lanjut

Pembaca sekalian pastinya dikejutkan dengan pelbagai khabar angin yang melibatkan kejadian perlawanan antara pasukan Harimau Malaya dengan Garuda.

Ditambah lagi dengan insiden seorang mangsa dari Indonesia yang menuntut permohonan maaf daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq sememangnya menambahkan kekeliruan sedangkan beliau sudah pun memutuskan bahawa video berkenaan adalah palsu.

Setelah siasatan yang lebih terperinci dijalankan, Bukit Aman kini telah mengesahkan bahawa video tersebut tidak berlaku sama sekali di Bukit Jalil, namun di Bukit Bintang. Difahamkan bahawa kejadian ini telah dilaporkan di balai polis berdekatan tempat kejadian pada hari Rabu lepas.

Menurut Berita Harian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyatakan bahawa pihaknya telah pun menerima suatu laporan yang dibuat oleh seorang lelaki berwarganegara Indonesia bernama Fuad Naji pada jam 8 malam.

Lelaki berkenaan dikatakan membuat laporan untuk menyatakan bahawa dia dipukul oleh sekumpulan individu yang dipercayai rakyat tempatan sekitar jam 2 pagi pada hari yang sama.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati bahawa insiden tersebut tiada kaitan dengan perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Indonesia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Siasatan turut mendapati yang mangsa telah kehilangan pasport dan sejumlah wang pada ketika itu. Oleh demikian, kes tersebut diklasifikasikan oleh pihak berkuasa sebagai kes samun mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Namun begitu, motif insiden mangsa dipukul masih belum dapat dipastikan. Ini kerana, pegawai penyiasat tidak dapat merekod keterangan mangsa secara penuh kerana lelaki terbabit telah menghilangkan diri selepas dinasihati mendapatkan rawatan sebaik selesai membuat laporan di pondok polis hospital.

Pencarian yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk mengesan lelaki itu juga menemui kegagalan apabila dia hilang daripada kawasan penginapannya. Oleh itu, pihak polis menggesa mangsa dan rakannya untuk tampil berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

Berdasarkan kenyataan pihak berkuasa, mereka juga telah pun meminta bantuan dari kedutaan Indonesia untuk memaklumkan perkara ini kepada mangsa tersebut. Maka, individu atau saksi sewaktu kejadian berlaku diminta oleh pihak polis untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.

Bagi memudahkan lagi urusan agar tiada lagi perbalahan, pihak polis dikhabarkan sedang mencari dan mengesan individu yang merakam dan menyebarkan rakaman tersebut.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca