Mangsa Dera Keluarga Angkat, Ini Kisah Pemergian Tragis Hana Williams

Hana Grace-Rose Williams telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 13 tahun selepas menjadi mangsa penderaan keluarga angkatnya. Pada tahun 2011, jasad Hana ditemui dalam keadaan tanpa seurat benang di hadapan rumahnya dekat Washington, Amerika Syarikat.

Kami akan kongsikan kisah Hana Williams menerusi artikel ini:

Kisah tragis Hana Williams

Sumber: KOMO News

Dilahirkan di Ethiopia pada 19 Jun 1997, Hana ditinggalkan oleh ibu kandungnya ketika berumur tiga tahun dan kehilangan bapanya beberapa tahun selepas itu.

Selepas menjadi anak angkat pasangan Williams pada tahun 2008, Hana menerima hukuman setiap hari walaupun kesalahannya hanya kecil sahaja. Sudahlah selalu dipukul dengan objek seperti getah paip, Hana terpaksa tidur di tempat yang tidak selesa seperti bilik air, halaman rumah dan bangsal.

Namun, apa yang lebih menyedihkan ialah Hana sering dibiarkan dalam keadaan lapar dan hanya akan makan sisa makanan dalam peti sejuk.

Punca sebenar pemergian Hana 

Sumber: Slate

Pada malam kejadian, Hana terpaksa berkurung di luar rumah tanpa pakaian. Hana meninggal dunia selepas mendiang rebah kerana suhu di luar rumah sangat sejuk pada waktu itu.

Ibu angkat Hana iaitu Carri membawa kanak-kanak terbabit yang sudah dibalut dengan cadar masuk ke dalam rumah. Carri turut memberi bantuan pernafasan namun ia sudah terlambat kerana Hana telah pergi buat selama-lamanya.

Pihak polis mula bertanya tentang punca pemergian Hana kepada keluarga Williams. Namun, jawapan mereka sama sahaja iaitu Hana sering memberontak dan mahu menamatkan riwayatnya sendiri.

Kebenaran akhirnya terbongkar selepas seorang lagi anak angkat pasangan tersebut iaitu Immanuel mendedahkan bahawa dia turut melalui pengalaman sama seperti Hana.

Selepas pihak polis menjalankan siasatan secara terperinci, Carri dan suaminya, Larry didapati bersalah atas pemergian Hana kerana telah mendera kanak-kanak itu secara fizikal dan mental. Carri dan Larry masing-masing menerima hukuman penjara selama 37 dan 28 tahun. 

Larry Williams. Sumber: Slate

Dalam pada itu, pasangan ini telah menjadikan buku To Train Up A Child sebagai sumber rujukan untuk mendidik anak-anak mereka. Oleh itu, mereka tidak menganggap hukuman kepada anak-anak sebagai satu kesalahan.

Mereka menganggap bahawa ia akan membentuk anak-anak untuk menjadi lebih baik. Pada pendapat anda, apakah cara terbaik untuk memastikan kes penderaan kanak-kanak tidak berulang lagi pada masa hadapan?

Penulis:

  • Nur Azlin Mohd Azda adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan kes penderaan kanak-kanak, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca