Mandi Lewat Malam Baik Atau Tidak Untuk Kesihatan? Ini Adalah Penjelasannya

Jika disebut mandi malam atau terlalu sering mandi malam selalunya dilarang keras oleh orang-orang tua. Petua serta pantang larang orang-orang tua pada ketika dahulu sudah menjadi amalan dan juga kebiasaan dalam masyarakat kita.

Perkara yang berkait rapat dengan mandi malam adalah kesannya kepada kesihatan tubuh badan. Lebih-lebih lagi dikatakan jika seseorang terlalu kerap mandi pada larut malam akan mengalami masalah kesihatan iaitu paru-paru berair. Namun, sejauh manakah perkara ini dapat dibuktikan? Adakah ianya sekadar mitos ataupun benar-benar pantang larang orang-orang tua yang harus kita turuti?

Berikut adalah penjelasan menarik tentang mandi pada waktu malam. Menerusi laman Facebook Bel Nawhen, beliau menerangkan serba sedikit persoalan menarik tentang mandi pada waktu malam. Mari kita fahamkan dan ikuti penjelasan tentang mandi pada waktu malam.

Berikut adalah beberapa penjelasan tentang mandi malam.

Jika darah menjadi panas, maka melecurlah seluruh badan kerana darah mengalir melalui salurnya ke seluruh anggota badan termasuk otak. Darah badan seseorang individu adalah dalam purata suhu 36.5°c – 37.5°c.

Oleh hal yang sedemikian, jika seseorang seringkali mandi dan tidak mandi sekalipun, darah tidak akan sejuk mahupun mendidih panas. Penat setelah melakukan pekerjaan seharian adalah satu perkara normal yang dialami oleh setiap individu. Jadi, tidak ada sebarang sebab dan akibat mandi malam yang dapat memudaratkan kesihatan manusia.

Persoalan yang kedua juga sering kali menjadi tarikan. Apabila seseorang mandi larut malam, paru-paru mudah dimasuki air.

Paru-paru berair berlaku disebabkan jangkitan bakteria atau virus pada paru-paru (pneumonia) selain terdapat komplikasi lain. Degupan jantung normal setiap manusia dewasa adalah lingkungan 60-100 per minit dengan jumlah 100,000 detak sehari dan 3,600,000 setahun. Jika jantung lemah, bermakna anda memang mempunyai masalah jantung. Bukan disebabkan oleh mandi malam.

Berkemungkinan besar pantang larang orang-orang dahulu adalah ingin melarang daripada mandi di waktu malam kerana kebanyakan tandas pada ketika itu berada diluar dan bertujuan mengelakkan diri daripada bahaya kepada seseorang yang mungkin akan terpijak serpihan tajam ataupun dipatuk binatang yang berbisa.

Jadi, kita sebagai masyarakat di zaman yang serba canggih dan moden ini mestilah menjaga kebersihan pada setiap masa. Pemikiran kita juga harus seiring dengan arus pemodenan masa dan janganlah pemikiran kita masih lagi ditakuk yang lama kerana manusia bukanlah kain ataupun span yang terlalu mudah menyerap air ke lapisan kulit.

Penulis:

  • Siti Aisyah Binti Shamshul Bahar adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel menarik, klik pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca